Murid sekolah boleh pakai kasut hitam mulai tahun depan, kata Maszlee


Asila Jalil

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata keputusan berkenaan diambil selepas kementerian mendengar keluhan ibu bapa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2018.

KEMENTERIAN Pendidikan akan membenarkan murid sekolah memakai kasut berwarna hitam, kata Dr Maszlee Malik.

Menteri pendidikan itu berkata keputusan berkenaan diambil selepas kementerian mendengar keluhan ibu bapa.

“Ibu bapa telah meminta supaya murid tak perlu pakai kasut putih lagi. Mereka mahu murid pakai kasut hitam.

“Mulai tahun depan, mereka (murid) akan pakai kasut hitam ke sekolah,” kata Maszlee pada forum “Bicara Minda, Malaysia Baharu & Pendidikan Negara” anjuran Sinar Harian di Shah Alam hari ini.

Beliau juga berseloroh yang para ibu lebih kisah mengenai isu kasut ini berbanding golongan bapa.

“Ini harapan daripada ibu bapa terutama ibu…bapa tak kisah sangat,” kata beliau, disambut dengan gelak ketawa hadirin.

Ini adalah antara perubahan dalam sistem pendidikan yang Maszlee harap dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau juga berharap murid tidak perlu lagi membawa beg yang berat ke sekolah dan menegaskan bahawa kementerian akan mengkaji masalah itu supaya ia dapat diselesaikan dengan cekap. – 19 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen