Laporan dedah pimpinan Yapeim terima bonus setinggi RM400,000


Diyana Ibrahim

Laporan penstrukturan semula Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) yang diperolehi oleh The Malaysian Insight, mendedahkan pengarah menerima anggaran bonus RM400,000 sementara pegawai kanan dibayar RM250,000. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2019.

BONUS tahunan setinggi RM250,000 hingga RM400,000 dikesan dibayar kepada pimpinan dan pengurusan kanan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim), sebuah badan yang ditubuh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi umat Islam.

Laporan penstrukturan semula yayasan itu, yang diperolehi oleh The Malaysian Insight, mendedahkan pengarah menerima anggaran bonus RM400,000 sementara pegawai kanan dibayar RM250,000.

Laporan itu mendakwa bonus atau insentif tersebut dibayar tanpa melalui kelulusan lembaga pemegang amanah (LPA).

“Keputusan dibuat hanya di peringkat pengurusan Yapeim dan ahli LPA hanya dikenhendaki meluluskan bayaran sahaja,” kata laporan itu yang dilihat The Malaysian Insight.

Pembayaran bonus yang amat besar dan mencurigakan itu adalah antara enam isu penyelewengan Yapeim yang sedang diteliti untuk diambil tindakan dalam proses penstrukturan semula yayasan itu.

Laporan itu menyebut pembayaran bonus atau insentif tinggi itu tidak munasabah bagi sebuah agensi seperti Yapeim yang berorientasikan konsep amal jariah.

“Ini memberikan kesan negatif kepada kedudukan kewangan agensi,” kata laporan itu.

The Malaysian Insight menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof, yang berkata isu itu akan dijelaskan oleh Yapeim.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Yapeim dan belum mendapat sebarang maklum balas.

Mujahid dalam beberapa kenyataannya sebelum ini menegaskan beliau akan memastikan semua agensi yang melapor kepadanya, termasuk Yapeim, diaudit semula untuk mengesan penyelewengan.

Gaji tinggi tidak munasabah

Laporan sama juga mendedahkan ketua pengarah dan pegawai kanan Yapeim dibayar gaji tinggi yang mencurigakan dan tidak munasabah.

Mereka juga menerima elaun daripada anak-anak syarikat yang mereka didakwa melantik diri mereka sebagai ahli lembaga pengarah.

“Setiap agensi membayar dari RM1,500 sehingga RM4,500 kepada mereka,” kata laporan itu.

Yapeim mempunyai 10 anak syarikat yang aktif dan membayar elaun kepada mereka anggaran RM100,000 bagi ketua pengarah dan RM35,000 untuk pengarah kanan.

Pada November 2015, Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir mendedahkan penyelewengan dana dan salah guna di Yapeim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2019.

Laporan itu menyebut prestasi kewangan Yapeim pada 2017 rugi dan sebahagiannya berpunca daripada pembayaran elaun besar kepada pengarah dan pengarah eksekutifnya.

Yapeim adalah sebuah yayasan yang ditubuhkan pada 1976 melalui Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 yang ditabdir oleh lembaga pemegang amanah yang dilantik oleh menteri.

Pada November 2015, Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir mendedahkan penyelewengan dana dan salah guna di Yapeim.

Beliau kemudian disaman fitnah oleh bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom. Mahkamah pada Julai 2016 membatalkan saman itu dengan alasan Jamil tidak boleh mengemukakan saman atas kapasiti menteri.

Pada Disember berikutnya, Presiden Yapeim Awang Malek Awang kecil dan timbalannya Siti Zaleha Hussin letak jawatan.

Laporan pelan tindakan dan penstrukturan semula Yapeim yang dilihat oleh The Malaysian Insight turut mempertikaikan perbelanjaan keluar negara oleh pucuk pimpinan Yapeim, yang dibuat “tanpa ada kawalan dan juga tidak menghasilkan pulangan yang baik” kepada yayasan.

“Perbelanjaan ini disembunyi melalui anak-anak syarikat Yapeim,” kata laporan itu.

Laporan tersebut juga mempersoalkan pembelian sebuah bangunan di Putrajaya dengan pinjaman daripada Bank Islam yang lebih tinggi daripada harga belian.

Pembelian bangunan itu juga dicatatkan sebagai tidak perlu kerana prestasi kewangan Yapeim yang tidak baik.

Yapeim juga membeli saham dan melabur dalam rangkaian pasar raya Aneka walaupun tidak diperakukan oleh jawatankuasa risiko dan pelaburannya.

Pembelian itu dipersoalkan ketika Yapeim sudah ditawar oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk menerajui peruncitan bumiputera melalui koperasi khairatnya sendiri. 

Laporan sama juga mempertikaikan penyaluran dana RM40 juta sebagai geran dan pinjaman kepada sebuah anak syarikat milik penuh Yapeim antara 2012 dan 2014. Anak syarikat yang menjalankan operasi penyelidikan dan perundingan itu sebaliknya didakwa banyak membelanjakan wang untuk perjalanan ke luar negara.

Cadangan

Laporan itu seterusnya mencadangkan semua enam isu utama dan beberapa isu berkaitan diaudit oleh syarikat bertauliah dan berpengalaman dalam audit forensik.

Ia juga mencadangkan supaya hasil siasatan audit yang mengesahkan penyelewengan dilaporkan kepada menteri dan pihak berkuasa.

Ia juga mengusulkan mereka yang terlibat dalam penyelewengan dan cuai dalam tadbir urus agar dipecat sementara pengganti mereka dilantik secara kontrak.

Laporan itu juga mencadangkan seorang ketua pegawai kewangan yang profesional dan berpengalaman dilantik untuk menguruskan kewangan Yapeim, manakala lembaga pemegang amanahnya diganti. – 11 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen