Sekolah tahfiz, janganlah setakat hafal sahaja


Zaidel Baharuddin

INI bukan artikel yang mempersoalkan tahap keselamatan sekolah tahfiz yang terbakar di Kg Keramat Hujung mahupun genjala dadah di kalangan remaja yang menyebabkan beberapa kanak-kanak terlibat dalam kes jenayah di sekolah yang sama.

Saya kira sudah cukup pakar-pakar dan penganalisis di seluruk pelusuk internet dan surat khabar memberikan pandangan mengenai perkara ini. Saya ingin mengutarakan sudut pandangan peribadi saya mengenai sistem persekolahan tahfiz itu sendiri, yakni sistem persekolahan persendirian yang tidak menjadi sebahagian dari kawal selia Kementerian Pendidikan di mana ibu-bapa menghantar anak-anaknya untuk mendapatkan pendidikan agama.

Rata-rata anak-anak yang dihantar ke sekolah Tahfiz dihantar dengan tujuan untuk mendidik anak itu menjadi seorang hafiz, yakni individu yang menghafal 30 juzuk ayat al Quran.

Sebab itu kita akan terbaca di akhbar dan rencana mengenai sekolah-sekolah ini, para pelajar mereka akan menumpukan lebih kurang antara enam ke lapan jam sehari untuk menghafal ayat-ayat Quran.

Ramai ibu bapa yang berpendapat bahawa dengan menghafalnya 30 juzuk al Quran ini, maka anak-anak mereka akan mendapat keberkatan kitab suci ini seterusnya menjadi manusia yang soleh dan berjaya.

Ini pula ditambah dengan budaya masyarakat kita sendiri yang sangat menyanjungi kehebatan menghafal dan membaca ayat-ayat Quran dengan merdu. Kejayaan atau kecemerlangan seorang pelajar tahfiz itu seringkali diukur oleh masyarakat akan kebolehan menghafal yang dibandingkan dengan umur.

Namun, kita selalu terkeliru antara dua perkara, yakni kebolehan menghafal dan kebolehan memahami. Sebagai contoh, seorang penghibur berbangsa Melayu yang menghafal berpuluh-puluh lagu Hindustan dari zaman filem Sashi Kapoor hinggalah ke Shah Rukh Khan belum tentu boleh bertutur, menulis dan membaca dalam Bahasa Hindi.

Mungkin betullah si penghibur ini faham maksud satu atau dua lagu berdasarkan lirik yang dibacanya tetapi kalau disuruh melibatkan diri dalam perbualan harian, satu ayat lengkap pun belum tentu dapat dijana. Malah keindahan puisi yang menjadi ayat-ayat lirik lagu berkenaan tidak mungkin dapat dihayati sepenuhnya oleh si penghibur berkenaan kerana kekurangan beliau memahami lenggok Bahasa Hindi itu sendiri.

Oleh itu janganlah kita terperangkap dengan pendapat yang saya kira salah, yakni menyamakan bahawa kebolehan untuk menghafal 30 juzuk ayat Quran itu bersamaan dengan memahami isi kandungan ayat Quran.

Kita cukup kagum dengan kebolehan pelajar berumur 10 tahun yang dengan lancarnya membaca surah al baqarah beserta tajwid dan nada yang merdu, tetapi pada masa yang sama tidak merasa sedikit terkilan pun apabila pelajar yang sama tidak mampu langsung untuk bertutur dalam Bahasa Arab hatta untuk perbualan harian yang asas sekalipun.

Ini masalahnya dengan ibu-bapa pada hari ini, mereka mahu anak mereka menjadi anak yang soleh dan solehah pada jalan yang mudah dan singkat. Mungkin ada yang mempersoalkan bahawa hafazan dan pemahaman itu boleh dijalankan secara serentak di mana sambil anak itu menghafal ayat Quran dia boleh belajar Bahasa Arab sekali.

Betul, Alhamdulillah, kalau begitu, namun seolah-olah trend hari ini ialah untuk menekankan kebolehan menghafal dalam masa yang sesingkat mungkin, pada usia yang muda sambil mengorbankan keperluan untuk memahami apa yang dihafalnya itu.

Mungkin masyarakat pada masa kini terlalu memberi penumpuan kepada aspek luaran sahaja, yakni perkara-perkara fizikal yang kita dapat lihat dengan mata kasar. Kita terlalu mudah terpengaruh dengan pemakaian jubah, serban serta pendengaran pembacaan quran dengan suara yang lemak merdu.

Mungkin ini menjadi sebab kepada populariti sekolah tahfiz yang bercambah dengan pesatnya sejak dua menjak ini dan penurunan jumlah insitusi pondok yang memperikan pengkhususan kepada pembelajaran agama secara lebih menyeluruh dan tidak terlalu memberikan penekanan kepada menghafal semata-mata.

Saya fikir bukankah lebih baik sekiranya anak itu diajar Bahasa Arab terdahulu berbanding dengan penekanan dan penumpuan yang kuat hanya untuk menghafal sahaja?

Sudah pasti ada orang akan mengatakan bahawa dalam perkara-perkara seperti ini, wajar kita serahkan perbahasan kepada ahlinya sahaja, dan orang awam atau yang tidak mempunyai kepakaran tidak patut memberikan pendapat.

Ini kerana ianya melibatkan perkara-perkara keagamaan, rasanya ada kebenaran di situ, memang patut kita merujuk kepada mereka yang fasih mengenai agama untuk berdebat dan membahaskan perkara-perkara yang membabitkan hukum dan sebagainya.

Namun dalam kes ini, ianya langsung tidak melibatkan sebarang pemahaman atau sudut pandangan dari segi agama, malah, bukankah aktiviti menghafal itu langsung secara terus mengabaikan keperluan untuk memahami dan mendalami maksud ayat-ayat Quran itu sendiri?

Pandangan saya ini direncana berdasarkan pemikiran logik sahaja, dengan hanya menggunakan pemikiran akal sahaja kita boleh membuat kesimpulan bahawa memahami al Quran itu adalah kunci kepada menjadi seorang Muslim yang baik.

Mungkin sudah tiba masanya masyarakat kita tidak terlalu terkongong dengan idea bahawa menghafal al Quran ini merupakan satu projek yang perlu disiapkan dalam satu masa yang terhad, tetapi lebih kepada memahami dan menghayatinya untuk pembelajaran sepanjang hayat. – 21 September, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen