Nikmat Tuhan yang terlupakan


Mohd Syazreen Abdullah

RAMADAN membuka ruang untuk kita mengenang kembali hakikat diri sebagai hamba. Bulan yang dijanjikan Tuhan limpahan rahmat dan pengampunan-Nya. Puasa mampu dilakukan tetapi ada memilih untuk tidak melakukannya. Seperti manusia berhak makan dan minum, namun bersepakat kepada Tuhan untuk tidak memilih makan.

Puasa atau al-Shiyam berasal dari kata shama-yashumu-shawman wa shiyaman bererti meninggalkan diri dari sesuatu – Shawm adalah tidak melakukan atau meninggalkan sesuatu sama ada makanan, pembicaraan, dan perjalanan.

Maka, puasa bukan sekadar menahan dari lapar dan dahaga sebaliknya menahan kemarahan, kebencian dan kesombongan. Rahmat Tuhan melimpahi kepada umatnya yang berbuat kebaikan.

Berpuasa melatih diri untuk membuang keegoan yang bertakhta di sanubari – kemerdekaan insani. Justeru bulan ini menjentik kembali sikap kehambaan kita – yang semakin hari semakin hilang dek sikap kita menjauhkan diri dari pergantungan, permintaan dan pengharapan kepada Tuhan.

Ironinya kita leka dalam pengharapan dan menyembah makhluk Tuhan berbanding sembah-Nya. Walhal, kita dilarang menghambakan diri selain Tuhan – meski atas nama agama, bangsa dan raja berdaulat sekalipun.

Kerana manusia semuanya sama di sisi Tuhan. Dia tidak memilih pangkat, kaum dan agama. Setiap hamba-Nya dilayan adil permintaan doa mereka.

Justeru, hanya kepada Tuhan sahaja diabadikan kepatuhan dan penyerahan. Bukan kepada makhluk. Kebebasan dan pilihan manusia tidak ditelunjuk oleh sesuatu yang berkuasa melainkan Tuhan.

Mengadulah pertolongan dan pengharapan kepada-Nya.  Kerana berdoa itu amalan para sahabat dan solihin iaitu menjadikan Tuhan sebaik-baik pengharapan dan pergantungan rahmat. Jangan meminta-minta kepada manusia.

Walhal pintu rahmat Tuhan terbuka luas. Pintalah doa kepada Tuhan. Dia Maha mendengar untuk sesiapanpun. Permintaan hamba-Nya terbentang luas.

Rasulullah bersabda “sesiapa yang diberi kesempatan berdoa malah pengabulannya tidak akan terhalang”.

Nikmat Tuhan

Terdapat dua nikmat tanpa sedari yang dirasai oleh hamba-Nya yang bersyukur. Pertama, nikmat penciptaan. Kedua, nikmat permintaan dikabulkan – melalui doa kepada Tuhan.

Nikmat penciptaan adalah dari tiada kepada ada. Biasanya anugerah itu terjadi untuk sesuatu yang berharga. Kehilangan sesuatu yang berharga, barulah kita mengerti dan menghargai nilai itu.

Seperti nikmat kasih sayang, kesihatan, keamanan dan persaudaraan kemanusiaan. Nikmat itu bermula daripada ketiadaan menuju wujud – ia kekal ma’dum (ketiadaan) tanpa permintaan dan bantuan Allah. Bahkan boleh binasa dek sikap manusia yang tidak mensyukuri pemberian itu.

Bayangkanlah seandainya kita boleh melihat Tuhan bekerja – tiada penamatnya. Sentiasa bekerja berterusan tanpa henti. Nescaya kita tidak akan sesekali mensia-siakan nikmat meminta permohonan kepada Tuhan – mengubah takdir kepada kebaikan. Berdoa mengubah keganasan menjadi kedamaian. Mengubah penderitaan menjadi kemanusiaan.

Malangnya, dalam kesempitan dunia, barulah kita menyedari Tuhan wujud kala kemiskinan dan kelemahan menyelubungi diri – mengadu pertolongan. Kerana kadangkala perubahan terjadi dengan doa. Sebagai tanda bergantungan tinggi hamba kepada Tuhan.

Namun, memohon kepada Tuhan tidak pernah ada batasan. Malah Tuhan Maha mengampuni lagi Maha menyayangi hamba-Nya. Justeru, pertolongan Ilahi tidak mengenal waktu manusia gelisah, sempit dan lupa kepada-Nya. Rahmat sentiasa terbentang luas.

Semakin seseorang menjauhkan dirinya kepada Tuhan, tidak sesekali Tuhan menjarakkan kepada hambanya. Betapa sayang dan kasihnya Tuhan untuk hamba kembali kepada-Nya.

Maka sesuatu tidak mungkin ada tanpa bantuan Allah. Kebergantungan diri kepada Allah adalah satu hakikat diri manusia. Sayangnya, mereka tidak menyedari hakikat diri di samping lalai menikmati saat kesihatan, kemanusiaan, kedamaian dan kekuasaan yang pernah dikecap. Janganlah takbur dengan rahmat pemberian Tuhan.

Rahmat universal

Rahmat Tuhan berasal dari esensi-Nya – maha berlimpah dengan kedermawanan (Fayyad bi-al-Jud) bahawa Allah sentiasa melimpahkan anugerah kepada sesuatu tanpa henti – terus-menerus. Limpahan kasih-Nya tidak terbatas kepada semua makhluk – rahmat Tuhan melampau murka-Nya.

Rahmat Tuhan adalah manifestasi sifat dari-Nya kepada hamba. Seseorang menghargai sifat kehambaan setelah mengetahui darjat dirinya – insaniah. Melalui sifat rendah hati lalu mensyukuri segala pemberian Allah – lambang manifestasi terhadap sifat insaniah.

Seperti pemberian Tuhan kepada makhluk-Nya dengan menghirup udara dan bernafas – Nafas ar-Rahman tanda pemberian dan kedermawanan Ilahi. Justeru sebahagian daripada rahmat adalah pemberian dari hembusan nafas Sang Pengasih (ar-Rahman). Pasaklah dalam jiwa bahawa Tuhan Maha memberi. Hargailah itu dengan penuh insani.

Kerana peringkat esensi (Rahmah Dzatiyyah) menghadirkan eksistensi (Rahmah asma’iyyah) dengan penzahiran-Nya di dalam bentuk, ragam dan berbagai gambaran demi menampakkan sifat-Nya – rahmat untuk sekalian alam.

Sebagai tanda kasih dan sayangnya Allah kepada makhluk-Nya bahawa keluasan rahmat Tuhan wujud di segenap ruang dan masa. Tidak terbatas pada agama tertentu saja.

Maka rahmat itu melebihi murka-Nya tanpa melihat perbuatan baik dan buruk dan jenis agama. Ibnu Arabi menghuraikan rahmat itu terbahagi kepada dua bahagian. Perbahasan itu termaktub dalam kitabnya Futuhat al-Makkiyah

Bahagian pertama pemberian secara “percuma” (Rahmah al-Imtinan) – semua orang layak mendapatkannya. Rahmat ini tidak kira siapa pun, agama Islam, Kristian, Hindu, Buddha tetap mendapat Rahmat dari Ilahi.

Manakala Rahmat kedua rahmat kewajiban (Rahmah al-Wujub) – Rahmat khusus kepada manusia tertentu dek perbuatan baiknya. Rahmat ini memilih sesiapa yang layak kerana amalannya. Namun menurut para arif rahmat kewajiban itu harus melangkau persoalan baik dan buruk. Kerana kebaikan itu bukan daripada manusia sebaliknya Allah – Pelaku Sejati.

Maka tidak ada perbandingan antara perilaku baik dan buruk – Rahmat tidak terikat pada baik dan buruk. Baginya semua makhluk sama ada melakukan perbuatan kebaikan atau keburukan semuanya tetap menikmati Rahmat universal dari-Nya.

Justeru daripada perbahasan di atas bahawa Rahmat adalah pemberian percuma (Rahmah al-Imtinan) – universal. Maka rahmat al-Imtinan adalah bukti pemberian bersifat lebih universal kepada sesiapapun. Walau apa pun agamanya, melalui dengan manifestasi-Nya, maka tiada terkecuali ke atas rahmat Tuhan untuk semua manusia – semua manusia sama dan berhak ke atas itu.

Berdoalah

Walau Rahmat itu boleh menjadi pemberian dan kedermawanan-Nya percuma kepada seluruh makhluk di alam ini, Dia sesekali tidak pernah menutupi ruang permintaan khusus kepada hamba yang berdoa dan memohon permintaan. Dia maha pembuka segala pintu rahmat.

Walau sekecil debu sekelumit permintaan hamba-Nya, tidak pernah Dia tutup serapat-rapatnya. Manusia begitu angkuh dan sombong untuk menadah tangan memohon permintaan daripada-Nya. Sadisnya ada manusia yang menentukan rahmat dan pemberian Tuhan hanya kepada kelompok tertentu saja.

Sebagaimana disebutkan di dalam kitab Hikam oleh Ibnu Athaillah as-Sakadari bahawa bersandarlah kepada sifat-sifat rububiyah Allah dan wujudkanlah sifat-sifat ubudiyah-mu – kehambaan.

Setiap hamba pastilah tidak akan mampu mencapai atau mewujudkan sifat rububiyah sebaliknya bergantung pada sifat itu. Justeru sifat itu dapat dicapai hanya jika seseorang menjadi hamba yang benar-benar hamba kepada-Nya.

Kerana itu, seorang hamba tiada kelayakan terhadap hak-hak yang dimiliki. Itu hak pemberian pinjaman dari Tuhan – Rahmat. Justeru Tuhan mencela kepada hamba-Nya yang menindas dan merosakkan hak orang lain. Apatah lagi menghukumkan di dalam menentukan nasib syurga dan neraka seseorang berdasarkan agama dan amalan.

Maka berhentilah menjadi Tuhan. Kerana itu melanggar sifat-Nya. Bahkan zalim kerana melawani sifat rahmat dan kasih Tuhan.

Maka, jauhilah dari bersikap sombong ke atas pemberian agama, kekayaan, dan kekuasaan oleh kurniaan Tuhan itu.

Sebaliknya teruslah berdoa dan merendah diri kepada Tuhan atas kurniaan rahmat-Nya. Renungilah diri kita sepanjang bulan Ramadan penuh kerahmatan ini.

Adakah kita benar-benar mensyukuri nikmat pemberian Tuhan atau sebaliknya menoleh rahmat-Nya? – 10 Mei, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen