Perlembagaan terjejas antara sebab bekas peguam negara tolak Statut Rom


Looi Sue-Chern

Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali memegang jawatan itu bermula pada Julai 2015 hingga Jun tahun lepas manakala Gani berkhidmat dari Januari 2002 sehingga penggantinya mengambil alih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2019.

KEBIMBANGAN sekiranya Statut Rom mungkin menjejaskan Perlembagaan Persekutuan dan raja-raja Melayu antara pertimbangan yang membuatkan Pejabat Peguam Negara menolak pengiktrafan statut itu.

Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali berkata ketika mengetuai Pejabat Peguam Negara, beliau dan pegawainya bersetuju dengan pertimbangan itu berdasarkan pandangan yang diberikan oleh peguam negara sebelumnya, Abdul Gani Patail.

Apandi memegang jawatan itu bermula pada Julai 2015 hingga Jun tahun lepas manakala Gani berkhidmat dari Januari 2002 sehingga penggantinya mengambil alih.

“Berdasarkan ingatan saya, antara perkara yang beliau (Gani) bimbang tentang ratifikasi itu mungkin bertentangan dengan Perlembagaan kita, dan mungkin ada kesan terhadap Raja Perlembagaan,” kata Apandi kepada The Malaysian Insight hari ini.

““Berdasarkan penasihat undang-undang kepada kerajaan, mengikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan, tugas kami adalah menasihati kerajaan atau agensinya berhubung hal perundangan.”

Apandi berkata undang-undang dan Perlembagaan masih sama walaupun kerajaan bertukar.

“Kita perlu menegakkan undang-undang dan tidak boleh hanya bertindak mengikut arahan kerajaan,” katanya.

Apandi ditanya untuk menjelaskan mengapa peguam negara sebelum ini enggan bersetuju dengan Putrajaya berhubung ratifikasi Statut Rom.

Semalam, Peguam Negara Tommy Thomas mendedahkan dua peguam negara terdahulu enggan melaksanakan Statu Rome.

Thomas mendedahkan perkara itu pada satu forum awam bertajuk ‘The Rome Statute Pull-Out: Controversies and the Implication — Where Do We Go From Here?’

Pandangan Thomas tentang peranan peguam negara berbeza dengan Apandi yang beranggapan bahawa kerajaan merupakan kliennya dan beliau perlu mengikut arahan.

“Saya tidak tahu bahawa sebagai peguam negara, saya boleh menolak arahan klien (Kabinet),” kata Thomas.

Ketika Gani bertugas sebagai peguam negara, kerajaan Barisan Nasional di bawah pentadbiran Najib Razak mahu menjadi sebahagian Mahkamah Jenayah Antarabangsa susulan serangan Israel terhadap kapal misi kemanusiaan, Gaza Freedom Flotilla, tetapi Pejabat Peguam Negara membantah.

Pada Ogos 2015, Kabinet Najib sekali lagi mengarahkan Pejabat Peguam Negara  di bawah Apandi untuk bersedia meratifikasi statut itu susulan pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di Ukraine.

Bagaimanapun sekali lagi Pejabat Peguam Negara enggan berbuat demikian. – 5 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen