SATU perhimpunan rakyat besar-besaran akan diadakan pada 15 Jun ini sekiranya kerajaan tidak mengesahkan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa sebelum akhir bulan ini, kata Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Lokman Noor Adam.
Perhimpunan itu akan diadakan di Kuala Lumpur dan dibayangkan lebih besar daripada dua perhimpunan isu Melayu dan Islam termasuk bantahan terhadap cadangan ratifikasi satu lagi dokumen antarabangsa Disember lalu iaitu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Menurut Lokman, semakan di laman web Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) masih menunjukkan Malaysia ada dalam senarai negara yang meratifikasikan Statut Rom berkuat kuasa 1 Jun 2019.
“Sekiranya sebelum 31 Mei 2019 ini kerajaan Malaysia masih gagal untuk membatalkan ratifikasi Statut Rom, maka pada 15 Jun 2019, pihak kami NGO dengan sokongan parti-parti politik yang kami akan runding selepas ini dan juga NGO di seluruh Malaysia yang mahu terlibat, kita akan gerakkan satu perhimpunan besar-besaran ala (bantahan) ICERD,” katanya dalam satu sidang media di Ampang, Selangor, hari ini.
Jelas Lokman, Himpunan Pertahanan Kedaulatan Islam di Kuala Lumpur semalam adalah amaran pertama.
“Sekiranya kerajaan disahkan telah menipu mengatakan kerajaan Malaysia membatalkan ratifikasi, maka satu perhimpunan sejuta rakyat akan diadakan,” katanya.
Perhimpunan semalam yang bermula pada 2 petang bagaimanapun tamat lebih awal kerana hujan lebat.
Malaysia menandatangani Statut Rom pada 4 Mac lalu. Namun pada 5 April, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia akan tarik diri daripada Statut Rom kerana kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam masyarakat.
Surat cara penerimaan Statut Rom yang ditandatangani dan diserahkan kepada setiausaha agung PBB pada 4 Mac lalu boleh ditarik balik sebelum Jun, katanya.
Perdana Menteri juga menegaskan penarikan diri Malaysia itu bukan kerana pembentukan mahkamah antarabangsa itu membahayakan negara.
Dua menteri kabinet, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah
Putrajaya menarik diri selepas Istana Johor secara terbuka mempersoalkan langkah Malaysia yang disifatkan boleh menghakis kedudukan Raja-raja Melayu dan meletakkan Raja-Raja Melayu di bawah bidang kuasa asing.
Ahli akademik dan penganalisis politik melihat dua perhimpunan atas slogan Melayu, Islam dan Raja – termasuk yang berlangsung semalam – adalah platform baru gerakan pembangkang Malaysia yang diterajui oleh Umno dan PAS, dan disertai pertubuhan hak Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
Mereka melihat perhimpunan itu kepada Umno dan PAS sama seperti Bersih kepada Pakatan Harapan sebelum PRU14.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu), Mohd Razlan Rafii ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata perhimpunan yang dinamakan Himpunan Sejuta Umat Bantah Statut Rom 1506 akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
“Kita akan buat di Dataran Merdeka bermula dari tengahari sehingga ke malam. Kita akan beri peluang kepada 60 wakil pertubuhan untuk berucap dan menyatakan perjuangan masing-masing.
“Kita tidak hanya libatkan NGO Islam dan parti politik Islam sahaja tetapi kita undang semua parti politik dan NGO untuk turun bersama,” katanya.
Razlan menjelaskan perhimpunan itu nanti lebih bersifat pelbagai kaum dan menjurus kepada perpaduan rakyat.
Lokman dan Razlan adalah juga pimpinan Umno di peringkat bahagian dan pusat. – 5 Mei, 2019.
Komen