Pendakwah Islam pekak kedamaian


Mohd Syazreen Abdullah

TINDAKAN pemimpin terbesar gereja Katolik sujud lalu mencium kaki beberapa pemimpin politik dari Sudan Selatan membuktikan betapa kedamaian adalah segala-galanya. Pope Francis yang berusia 82 tahun tidak segan silu, bahkan sanggup merayu dan membelakangkan egonya sebagai ketua agama demi sebuah keamanan.

Beliau tidak mahu dunia dinodai kebencian dan pembunuhan – pertumpahan darah atas nama agama. Cukuplah dunia menderita akibat konflik perang antara agama yang tidak pernah selesai walau berbagai-bagai cara dilakukan untuk menghentikan konflik.

Para teologi lintas aliran agama harus berganding bahu mengelakkan polemik antara agama. Umpamanya, sejak 2007 lagi langkah menghentikan konflik seperti A Common Word Between Us and You (ACW), bahkan dalam sejarah tradisi dialog keagamaan, langkah sebegitu berlaku lebih awal lagi.

Perbuatan Pope Francis berlaku ketika pertemuan dengan Presiden Sudan Salva Kiir Mayardit dan ketua pembangkang Riek Machar dalam rangka lawatan dua hari ke Vatican. Dalam pertemuan itu, Pope Francis memohon kedua-dua pemimpin supaya mengembalikan keamanan di negara Afrika.

Rayuan beliau agar mereka berdamai dan bergerak maju dengan melupakan segala kemelut lalu.

Kala ketua agama seperti Pope sanggup sujud demi kedamaian dan menumpu usaha melawan keganasan ektremis agama, kita malangnya mengundur ke belakang.

Kita gemar mencari pasal antara agama – mencetus polemik antara agama. Kita seolah-olah galak menjolok sarang tebuan. Walhal ia boleh mengundang permusuhan dek mempertikai agama lain.

Ironinya, kita sanggup memekakkan telinga dari tangisan umat yang diratah kebobrokan sikap kemanusiaan daripada ekstremis agama – mencetus kemarahan dan merosakkan kerukunan keberagaman.

Jangan sibuk agama orang lain

Kita menyangka gejala ekstremis tidak sebesar isu Syiah dan tudung.  Maka, pendakwah agama di Malaysia tidak serik mendogmakan umat betapa dosa paling besar menjadi Syiah dan membuka tudung.

Sangka mereka lagi, Islam tampak tertegak dengan mempertahan agama – berada atas agama-agama lain. Kononnya Islam tidak boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan agama lain.

Mereka menjadikan agama sebagai pertandingan dan perebutan. Tidak terkalahkan. Mereka mahu menjadi juara – satu-satunya agama di puncak. Ini sekali gus menafikan agama lain.

Memang berkongsi pengalaman keindahan Islam tidak salah. Namun, ada segelintir pendakwah gopoh menyebar keislamannya sebagai satu-satunya agama paling benar dengan meremeh-temehkan agama lain.

Secara halus, tafsiran yang disebar tidak menguntungkan kehidupan ragam agama sebaliknya menyemai bibit-bibit kebencian kepada agama lain – melukai perasaan penganut agama lain. Kesannya, ia mengacu pemikiran ekstremis.

Sebenarnya Islam tertegak dengan menyebar inti pati ajarannya – kedamaian. Tidak perlu jadi juara antara agama.

Sayangnya, kelompok itu pekak terhadap asbab perilaku keganasan. Selalunya, ekstremis agama datangnya daripada kelompok pendakwah agama yang lancang berkomentar “hate speech”, “bigotry” – merendah-rendahkan agama lain. Kita patut risau kerana gejala itu bertentangan dengan nilai Islam yang murni – menyebarkan kedamaian.

Nilai itulah sepatutnya kita pertahankan. Malah, hadis ada menyebut, ketika nabi ditanya siapakah Muslim itu? Lalu baginda menjawab: “Muslim adalah orang yang kehadirannya membuat orang-orang di sekitarnya merasa damai, tak terganggu oleh kekerasan ucapan dan tangannya”.

Pemuja agama asbab keganasan

Sebahagian kelompok pendakwah Islam kononnya mahu menegakkan agama tetapi tanpa sedar menjadi asbab pertentangan kepada keharmonian dan kedamaian kerukunan beragama. Mereka beria-ia mahu Islam megah di puncak, di tengah keberagaman agama – “pendakwah ala-Jihadis” dan “pendakwah ala-convert”.

Mereka tidak ubah seperti bigot – pemuja agama. Mereka berasa Tuhan, agama, kebenaran ada dalam genggamannya. Justeru, mereka yang tidak sehaluan dengannya, lidahnya mudah celopar dan menghambur kata-kata yang memburuk-burukkan agama lain. Mereka juga menggelar orang itu bermasalah lalu memohon hidayah Tuhan agar diberi petunjuk – sesat.

Mereka begitu petah membanding-bandingkan agama dengan mempersendakan kepincangan agama lain dek kajian yang entah benar atau tidak. Ini jelas tersasar dari roh keterbukaan dan rahmat Tuhan terhadap semua agama.

Fenomena manusia bigot dalam beragama zahir tampak suci, sebaliknya mereka sebenarnya mengeruhkan keharmonian.

Pendakwah yang ghairah mengajak orang menukar agama kepada Islam dan merendah-rendahkan agama lain, adakah mereka benar-benar faham atau tidak tafsiran agama rahmat?

Janganlah sekadar menghafal isi dan poin daripada penceramah agama yang petah tetapi tiada kepakaran dan disiplin ilmu Islam, kita jadi taklid dalam menyampaikan ajaran agama.

Sekiranya mereka meneliti dan mengkaji disiplin Al-Quran berpandukan ilmu, jelas Al-Quran bertentangan dengan sikap mereka – memburuk-burukkan agama dan memperkecil kebenaran agama lain. Justeru, jangan jadi bigot yang pandai berkata-kata dek mengulangi ratib guru yang terang-terang bertentangan dengan semangat keluasan Islam.

Tafsir kedamaian, bukan dialog keagamaan

Dialog antara agama bukan sekadar perbahasan mencari agama siapa paling benar. Bukan debat yang mahu tampak pakar agama itu dan ini. Islam tidak perlu diangkat dengan menghina agama lain.

idak perlu berdialog atas nama mencari kebenaran, sebaliknya memahami dan menghayati ajaran agama lain – bina kerukunan hidup. Umat perlu tumpukan kajian keilmuan Islam yang luas dalam mempraktikkan ajaran keberagaman – kedamaian.

Malangnya, pendakwah selalu berlebih-lebihan mengandaikan kebenaran hanya milik mereka. Misalnya mereka menggunakan tafsiran literal agar agama Islam tampak lebih daripada agama lain. Ayat popular kerap dipetik pendakwah adalah “hai orang-orang yang beriman masuklah kalian ke dalam agama Islam secara kaffah (menyeluruh)”.

Orang yang tidak mengkaji ayat itu mudah jadi taasub. Tambahan lagi, setelah mendengar bicara pendakwah yang petah walau dangkal tafsiran. Mereka mampu menyemarakkan semangat keislaman di hati pendengar kononnya Islam satu-satunya agama yang disempurnakan Tuhan.

Sebaliknya jika mereka lebih cermat, tafsiran itu ayat fi silmi kaffah oleh mufasir seperti Fakhruddin al-Razi adalah kata “As-Silmi” sebagai “as-Sulh (damai) dan “tarkul muharabah” (meninggalkan/menghentikan perang). Bukanlah kata “as-Silm” di situ bermaksud sebagai “Islam” lalu kita gopoh mengajak umat menukar agama sekali gus merendahkan kebenaran agama lain.

Maka ayat itu bermakna:

“Hai orang-orang yang beriman. Masuklah/bergabung ke dalam proses perdamaian secara menyeluruh, dan tinggalkan/hentikan perang”.

Sesungguhnya, korban kemanusiaan daripada sikap ekstremis tidak lahir dari senjata api sebaliknya kegagalan pendakwah yang gagal menganjurkan kedamaian dek kedangkalan kefahaman dan tafsiran sempit mereka.

Pembunuhan dan korban kemanusiaan adalah asbab daripada keegoan kita yang memilih untuk memusnahkan kedamaian dek taasubnya tafsiran ajaran sempit kita!

Justeru, lebih baik hentikan polemik yang mendatangkan bibit perpecahan antara agama yang sedia kala retak menanti belah. – 2 Mei, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen