Mana ada wakil rakyat Selangor mahu lompat parti, kata ADUN PKR


Diyana Ibrahim

WAKIL rakyat PKR di Selangor tidak akan lompat parti dan tidak akan mengkhianati amanah rakyat yang memilih mereka pada pilihan raya umum yang lepas, kata beberapa ahli dewan undangan negeri (ADUN) PKR negeri.

Enam ADUN PKR Selangor yang dapat dihubungi oleh The Malaysian Insight sama ada melalui sistem aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon memberitahu cerita lompat parti menyokong Barisan Nasional (BN) itu tidak berasas dan tidak akan berlaku.

“ADUN PKR tidak akan membelakangi amanah yang diberikan oleh rakyat Selangor semasa PRU13,” kata ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan sidang media Perdana Menteri Najib Razak semalam sebenarnya bukanlah semata-mata untuk mengumumkan kemasukan semula Muhammad Muhammad Taib ke dalam Umno, tetapi ada yang lebih besar daripada itu.

Muhammad semalam dilaporkan sepatutnya membawa bersamanya lapan ADUN Selangor dari PKR dan menyebabkan pentadbiran Azmin Ali tumbang, mengulangi episod politik di Perak pada 2009 yang menyaksikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat beralih kepada BN.

Bagaimanapun, usaha itu tidak berhasil kerana tersekat pada peringkat tertinggi dan hanya Muhammad yang muncul pada sidang media di Ibu Pejabat Umno semalam.

Elizabeth berkata dakwaan itu hanya bertujuan untuk menutup air muka Najib. Perdana Menteri semalam dicemuh oleh banyak pihak termasuk di media sosial kerana gembar-gembur sidang media “penting” yang kemudiannya hanya mengumumkan kemasukan Muhammad kembali ke pangkuan Umno.

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad juga melalui satu kenyataan video bertanya apa yang heboh sangat tentang Muhammad masuk Umno semula.

Elizabeth berkata pentadbiran kerajaan negeri masih kukuh dan berfungsi seperti biasa.

“Kita dah biasa berdepan dengan pelbagai khabar angin. Bila lebih dekat pilihan raya umum, maka macam-macam cerita dan fitnah akan bertambah lagi. Tetapi saya yakin dengan kebijaksanaan rakyat Selangor.”

ADUN Rawang Gan Pei Nei juga senada dakwaan itu hanya disebarkan untuk menutup kegagalan perdana menteri menarik ahli pembangkang untuk lompat parti.

“ADUN Selangor semua komited dengan amanah yang diberikan oleh rakyat Selangor kepada kita,” katanya.

ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pentadbiran Selangor masih kukuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2017.

ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga ketua sayap pemuda PKR juga menafikan dakwaan itu dengan menjawab ringkas: “Tidak betul, pentadbiran Selangor masih kukuh.”

Sementara itu, ADUN Sementa Dr Daroyah Alwi berkata laporan itu hanya khabar angin “yang kita tidak tahu dari mana”.

“Tidak ada langsung, tak pernah dengar mana-mana perbincangan untuk tarik ADUN atau apa-apa kenyataan sebelum ini.

“Itu cuma khabar angin,” kata exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Negeri Selangor itu.

Katanya, kalau ada pun tindakan mahu mencuri wakil rakyat negeri, ia satu percubaan yang sia-sia.

“Apa-apa pun Umno jangan mimpilah. Jangan harap dapat beli ADUN PKR. Perjuangan kita adalah tetap bertunjangkan Anwar Ibrahim,” katanya.

ADUN Sri Muda Mat Shuhaimi Shafie pula berkata dakwaan itu fitnah yang sengaja dihebohkan oleh Umno sebagai usaha menutup malu kerana hanya berjaya menarik Muhammad.

“Saya yakin tidak ada usaha itu. Cerita itu sengaja diputar balik.

“Ini satu lagi siri fitnah bagi mengganggu gugat kelancaran perjalanan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Azmin,” katanya.

Shuhaimi yang juga setiausaha politik Azmin berkata, beliau tidak hairan dengan dakwaan seperti kerana ini musim dekat dengan pilihan raya.

“Jangan terkejut, elemen kejutan dan plot ini akan terus bersambung hingga PRU14 akan datang,” katanya.

Sementara itu, ADUN Sri Andalas Xavier Jayakumar malah mencabar perdana menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera.

“Saya cabar beliau untuk bubar Parlimen dan lihat sama rakyat masih mahu pilih beliau.

“Berhenti daripada membuat perkara bodoh dan membazir masa kami,” katanya.

ADUN Sri Andalas Xavier Jayakumar mencabar perdana menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2017.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider lapan ADUN PKR yang sepatutnya lompat parti itu akan bergabung bersama 12 ADUN Umno dan 13 ADUN PAS serta bekas menteri besar Selangor Khalid Ibrahim untuk membentuk barisan 34 ADUN yang sudah cukup untuk menubuhkan sebuah kerajaan di Selangor. DUN Selangor mempunyai 56 kerusi.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir yang dihubungi oleh The Malaysian Insight turut menafikan laporan itu.

Kedudukan semasa DUN di Selangor ialah DAP 14 kerusi; PAS 13, PKR 13, Amanah 2 dan Bebas 2 dan BN 12 kerusi.

The Malaysian Insight cuba menghubungi ADUN Kota Anggerik Yaakob Sapari, ADUN Ijok Dr Idris Ahmad dan ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail namun tiada jawapan daripada mereka.

Sementara itu, Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor dalam satu kenyataan menyatakan sokongan penuh dan mendukung kepimpinan Azmin.

Ia memberi amaran kepada Najib untuk tidak menimbulkan keresahan rakyat terhadap kestabilan kerajaan negeri Selangor dengan pelbagai taktik kotor, sebaliknya menghormati pilihan rakyat melalui prinsip demokrasi.

“Jangan sesekali mengalihkan perhatian rakyat daripada kepimpinan beliau yang terpalit dengan pelbagai skandal terutamanya rasuah dan 1MDB sehingga memudaratkan rakyat dan negara,” kata pengerusinya, Ng Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan dari DAP. – 18 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen