Pengguna media sosial sifatkan pengumuman Najib buang masa


Yap Pik Kuan

PENGGUNA media sosial yang menjangkakan “berita besar” pada sidang media khas Perdana Menteri Najib Razak hari ini kecewa selepas ia hanya mengumumkan bekas menteri besar Selangor, Muhammad Muhd Taib kembali menyertai Umno daripada PKR.

Malah Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali turut menyindir pengumuman itu dengan tweet: “Sau Kaw Po Ji…kah kah kah” (kumpul surat khabar lama), menyifatkan Muhammad sebagai barang lama.

Pengguna media sosial lain turut merujuk Muhammad sebagai “orang tua” dan sidang media khas yang diadakan hanya membuang masa.

Di laman Facebook, Kumar Muniandy menulis, “Buang masa..tiada siapa peduli dia masuk parti mana..lelaki tua yang sia-sia.”

“Buang masa saja. Orang tua ini nak berjalan pun susah…permainan yang sama saja,” tulis Kiera Gill pada ruangan komen.

Ang Tan Loong merujuk Muhammad sebagai “barang luput tarikh” pada ruangan komennya, “Hahaha barang dah luput tarikh nak buat apa? Untuk gali kubur Umno?

Malah ada yang merungut kerana mengorbankan masa mereka untuk mendengar pengumuman penting itu.

“Terpaksa batalkan rancangan hari Ahad untuk berita ini? Puii! Lawaklah orang ini..dah habis idea..sama saja kalau Mat Taib masuk atau keluar..dia sudah tidak relevan,” kata Marciano Herrera.

“Penat je I buat coffee n goreng karipap..ingat ada show ke apa,” kata Anis Hussain.

 “Tu je?,” tulis Harapan Tanahairku.. (@azam2091) dan Yi Leong (@yileong).

Pengguna DENG (@shppdvg) turut meluahkan rasa simpati kepada wartawan yang membuat liputan sidang media itu.

“Kesian wartawan yng redah hujan lebat nak pi Menara Dato’ Onn tadi. Rupa-rupanya pasal Mat Taib ja. Hahaha”.

Pengguna Facebook dan Twitter turut menyentuh mengenai skandal yang membabitkan Muhammad di Australia.

Pada 1997, beliau dilaporkan ditahan di lapangan terbang di Brisbane kerana membawa wang tunai berjumlah hampir AS$1 juta, berikutan itu dia dipaksa meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor.

Muhammad kemudiannya didapati tidak bersalah selepas mengakui beliau tidak memahami bahasa Inggeris dan tidak faham dengan peraturan.

“Itu saja? Meraikan semula ‘geng’ yang pernah didakwa ditahan dengan jutaan wang tunai?” tulis Vincent Quah dalam laman Facebook.

Seorang lagi pengguna, Mark Saw menulis komen,“Individu yang menyeludup wang ke Australia itu pengumuman penting?”

Seorang lagi pengguna menyindir kemahiran berbahasa Muhammad.

Pada laman Facebook, Ramesh Ridzzy B bertanya, “Dia boleh bercakap bahasa Inggeris sekarang?”

Sementara Colin Charles (@bytebot) menerusi Twitternya menulis: “Mat Taib kembali masuk Umno, Mungkin bahasa Inggerisnya sudah bagus sekarang dan dia tak bawa wang tunai dalam bag?” – 17 September, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen