Undang-undang tidak selesai masalah beza pendapat dalam agama


BERKAITAN isu penahanan pendakwah bebas Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang bersabit dengan laporan polis berhubung kenyataan beliau yang dianggap menghina agama dan perbalahan antara Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dengan Dr Mahathir Mohamad dalam isu ini, saya rasakan sesuatu yang harus dilihat secara lebih objektif dan penuh cermat.

Dari sudut undang-undang, sememangnya setiap laporan polis yang dibuat perlu disiasat oleh pihak berkuasa bagi memastikan kesahihan setiap dakwaan itu. Kepercayaan ini harus diserahkan kepada pihak berkuasa iaitu polis.

Kita berharap, apa jua siasatan yang dilakukan, mestilah adil, dipatuhi dan mengikut lunas-lunas peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan kepada agensi terbabit.

Namun, hal seperti ini pastinya tidak akan berakhir di sini. Ia tidak akan selesai dengan siasatan atau pendakwaan dan hukuman. Dengan erti kata lain, menerusi proses undang-undang sahaja, isu-isu seperti ini tidak dapat diselesaikan dengan tuntas. Ia hanya sampai ke tahap, hukuman sama ada denda dan sebagainya.

Isu sebenar di belakang perkara ini ialah, rasa “insecure” di kalangan rakyat atau mana-mana pihak. Persepsi ini bukan soal undang-undang. Ia soal kebijaksanaan kita mengurus persepsi agar rasa tidak senang ini dapat dihapuskan.

Saya memahami keresahan mufti Perlis, persepsi rakyat dan juga pandangan Tun M mengenainya. Bagi saya, kita sedang bercakap dalam frekuensi bahasa yang sedikit berbeza tetapi matlamat sebenarnya adalah sama iaitu memastikan seluruh rakyat dapat menjalani kehidupan beragama dengan harmoni dan tenang.

Saya mahu merujuk kepada cadangan beberapa pihak sebelum ini seperti Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malek dan juga Dr Mujahid Yusuf Rawa mengenai pentingnya dialog antara agama diadakan dan disuburkan di Malaysia.

Saya berpendapat, dengan justifikasi yang diberikan dalam cadangan itu, perkara seperti isu ini dapat dirunding dan diselesaikan menerusi cadangan ini.

Platform untuk pihak yang terlibat duduk berbincang tentang isu perbezaan dalam mengamalkan kepercayaan masing-masing, perlu wujud dan aktif. Dengan kaedah ini saja, rakyat akan memahami isu dengan lebih waras dan objektif.

Islam itu Rahman Lil ‘Alamin, dan saya lebih menyukai pendekatan yang lebih objektif untuk mengelak dan menjauhkan masyarakat dari terus berdepan dengan perkara seumpama ini pada masa hadapan.

Persoalan agama dalam negara demokrasi yang pelbagai ragam seperti Malaysia ini persoalan bagaimana kita mampu mengurus perbezaan dengan penuh bijaksana dan hikmah.

Umumnya, pastilah mana-mana agama tidak menjurus ke arah menyemai benih kebencian, apatah lagi Islam – agama Rahmat Buat Sekalian Alam.

Saya berharap Zamri Vinoth Kalimuthu akan mendapat ruang keadilan yang cukup daripada siasatan ini. Dan pastinya, saya menyeru kepada semua rakyat agar bertenang dan terus istiqamah dalam menjaga nilai-nilai kesucian agama Islam dan keharmonian beragama di Malaysia.

Insya-Allah, Yayasan Dakwah Islamiyah akan terus komited dan istiqamah dalam menyemai benih-benih keharmonian Islam buat semua. – 30 April, 2019.

* Penulis ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim Johor Baru Sheikh Umar Bagharib Ali.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen