MUFTI Perlis mempertahankan kenyataannya bahawa Islam terancam di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kerana itulah keresahan umat Islam di Malaysia sekarang.
Dr Mohd. Asri Zainul Abidin berkata reaksi Dr Mahathir Mohamad menyifatkan beliau “pekak” mungkin kerana perdana menteri terguris dengan kenyataannya itu semalam.
Bagaimanapun jelasnya, apa yang beliau suarakan adalah kebenaran.
“Sesiapa yang mampu mendengar keresahan rakyat, itulah realiti yang disuarakan oleh setiap lapisan masyarakat Islam di negara ini.
“Saya tidak pasti siapa yang pekak,” katanya menjawab kenyataan perdana menteri itu di hantaran Facebook beliau
“Mungkin YAB Tun M terguris disebabkan hubungan baik saya dengan Tun M selama ini. Saya faham keadaan itu.”
Semalam, Dr Mahathir menafikan umat Islam terancam di bawah PH sebaliknya berkata pihak yang mendakwa susah mendengar suara pemimpin pentadbiran hari ini mempertahankan Islam sebagai “pekak”.
“Fasal dia pekak. Kita buat macam-macam untuk orang Islam, untuk Islam tapi dia tak dengar,” katanya.
Dr Mahathir mengulas kenyataan awal Asri mendakwa realiti politik Malaysia hari ini membiarkan umat Islam dibuli.
Beliau membuat kenyataan itu susulan tindakan polis menahan pendakwah Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu atas dakwaan menghina agama Hindu.
Asri mempersoalkan kenapa Zamri yang menceritakan pengalamannya sebelum memeluk Islam ditahan sedangkan pemimpin kerajaan yang membuat kenyataan mengguris hati Islam dibiarkan.
Dalam pada itu, Asri pada status sama turut memuat naik foto catatan Dr Mahathir terhadapnya dan berkata akan berpegang pada pesanan perdana menteri itu.
“Beberapa tahun yang lalu Tun M ada menulis catatan ini kepada saya. Antara yang ditulis: “Jangan ketepikan kebenaran kerana takut. Perjuangan yang bebas dari cabaran dan tentangan bukanlah perjuangan yang sebenarnya”.
“In sha Allah saya akan berpegang kepada falsafah itu sekali pun terhadap kerajaan pimpinan Tun M sendiri,” katanya lagi. – 30 April, 2019.
Komen