Polis siasat forum Statut Rom, kata KPN


Siasatan dibuat kerana pihak polis menerima beberapa laporan ada beberapa kenyataan yang didakwa menghina Raja-Raja Melayu dikeluarkan pada forum itu, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2019.

POLIS akan menyiasat forum Malaysia dan Statut Rom mengikut Akta Hasutan 1948 dan beberapa undang-undang lain, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Katanya, siasatan dibuat kerana pihak polis menerima beberapa laporan ada beberapa kenyataan yang didakwa menghina Raja-Raja Melayu dikeluarkan pada forum itu.

“Saya tahu ada kenyataan dibuat, ada beberapa pihak telah buat laporan polis termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang tidak puas hati, jadi kita siasat kerana laporan telah dibuat,” katanya, seperti dipetik Utusan Online.

Fuzi juga dipetik berkata pihak polis akan memanggil beberapa pihak termasuk penganjur forum.

“Bergantung kepada keperluan sama ada perlu dipanggil atau tidak, jika perlu kita akan panggil,” katanya.

Setakat ini dua badan membuat laporan polis iaitu Pertubuhan Sahabat Erat dan Amanat Rakyat (Sedar Malaysia) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa mendakwa  ahli panel memperlekeh institusi diraja dalam forum itu dan menghasut rakyat membenci institusi raja.

Forum pada Sabtu membariskan Peguam Negara Tommy Thomas, sarjana sosiologi dan antropologi Dr Syed Husin Ali, pakar perlembagaan Prof Dr Shad Saleem Faruqi, jurucakap Kumpulan G25 Noor Farida Ariffin, peguam Lim Wei Jiet dan aktivis mahasiswa, Asheeq Ali Sethi Alivi.

Forum itu dianjurkan bersama beberapa pertubuhan masyarakat iaitu Persatuan Patriot Kebangsaan, G25, Ikram, Abim, Gerak, Sisters in Islam dan Pertubuhan Pergerakan Keadilan Sedunia (Just International).

Pada forum itu, Syed Husin yang juga bekas timbalan presiden PKR mengkritik Raja-Raja Melayu termasuk campur tangan mereka dalam politik dan perniagaan.

Shad Saleem pula berkata penyertaan Malaysia dalam Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa tidak menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu kerana belum pernah ada raja berperlembagaan mana-mana negara yang didakwa di mahkamah dunia itu.

Katanya, dalam sistem raja berperlembagaan raja-raja hanya “memerintah dan bukan mentadbir”, dan mereka tidak boleh dipersalahkan atas jenayah yang dilakukan pemerintah yang dipilih rakyat. – 29 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen