Laporan polis dibuat dakwa forum Statut Rom hina raja


Pelakon Ellie Suriaty antara penyokong Sedar yang turut hadir semalam di forum Statut Rome di Universiti Malaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2019.

LAPORAN polis dibuat terhadap penganjur, moderator dan ahli panel yang terlibat dalam forum Statut Rome yang diadakan di Universiti Malaya semalam oleh sebuah kumpulan haluan kanan Melayu.

Presiden Pertubuhan Sahabat Erat dan Amanat Rakyat (Sedar Malaysia) Nazrin Norani berkata ahli panel memperlekeh institusi diraja dalam ucapan mereka, malah hadirin yang datang turut bersorak menyokong kenyataan menghina itu.

“Sedar Malaysia hadir pada forum tersebut untuk mendapatkan pencerahan tentang Statut Rome dan adalah mengejutkan apabila forum ini telah bertukar menjadi pesta untuk mencaci dan menghina raja-raja Melayu.

“Adalah memeranjatkan golongan ‘intelektual’ yang berada di atas dan di bawah pentas berperangai seperti budak-budak yang tidak cukup akal dan fikiran, dengan memberi sorakan kepada setiap sindiran dan hinaan yang disebut oleh ahli panel berkenaan raja-raja,” kata Nazrin yang membuat laporan polis itu dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, ahli panel forum itu juga menghina empat ahli akademik yang membentangkan kajian mereka tentang Statut Rom kepada Majlis Raja-Raja.

“Forum ini juga telah menjadi wadah untuk menghina 4 orang ahli akademik yang telah memberi nasihat kepada Majlis Raja-raja berkenaan Statut Rom.

“Amat mengecewakan, forum yang sepatutnya boleh memberi banyak maklumat telah tercalar dengan tindakan-tindakan yang tidak wajar oleh ahli-ahli panel,” katanya.

Forum semalam disertai Peguam Negara Tommy Thomas, pakar perlembagaan Prof Dr Shad Saleem Faruki, ahli G25 Noor Farida Ariffin, pakar sosiologi terkenal Dr Syed Husin Ali, peguam Lim Wei Jiet dan aktivis pelajar Asheeq Ali.

Thomas dan Shad Saleem, kedua-duanya berkata, belum pernah ada raja berpelembagaan mana-mana negara yang didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana jenayah perang dilakukan tentera negara mereka.

Forum Statut Rome semalam di Universiti Malaya jadi tumpuan kerana menghimpunkan nama besar negara termasuk Peguam Negara Tommy Thomas, sarjana terkena Dr Syed Husin Ali dan bekas diplomat Noor Farida Ariffin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2019.

Katanya, dalam sistem raja berperlembagaan raja-raja hanya “memerintah dan bukan mentadbir”, dan mereka tidak boleh dipersalahkan atas jenayah oleh pemerintah yang dipilih rakyat.

Syed Husin pula mempersoalkan motif bantahan ke atas Statut Rom yang dibuat “negeri selatan tertentu” dan menimbulkan persoalan sekiranya ada ahli keluarga diraja yang disoal siasat polis kerana catatan media sosial yang dimuat naik mereka.

Manakala bekas diplomat, Noor Farida Ariffin pula mendedahkan Kabinet Barisan Nasional tidak membantah ratifikasi Statut Rom malah beliau sendiri pernah menerajui usaha Wisma Putra untuk melaksanakannya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penarikan diri daripada ratifikaski perjanjian antarabangsa itu selepas perbincangan dengan Majlis Raja-Raja. 

Dua menteri kabinet, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad kemudian menyebut Putrajaya menarik diri dari Statut Rom kerana ada tangan ghaib yang disifatkan sebagai daulah terpendam yang mahu merampas kuasa.  – 28 April, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen