Saham milik kerajaan dipindahkan untuk selamatkan rizab Bank Negara


Bede Hong

Bekas setiausaha Jabatan Kewangan di Kementerian Kewangan, Othman Jusoh memberi keterangan pada sesi pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian dialami Bank Negara dalam urus niaga mata wang asing di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 September, 2017.

BANK Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan bersetuju saham yang dipegang oleh kerajaan dalam beberapa syarikat tertentu dipindahkan ke bank pusat sebagai satu cara untuk menyelamatkan rizabnya setelah mengalami kerugian dalam urus niaga mata wang asing, panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini.

Othman Jusoh, bekas setiausaha Jabatan Kewangan di Kementerian Kewangan berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pada akhir November 1994.

“Penjualan saham milik kerajaan dilakukan secara ‘senyap-senyap’ melalui Rashid Hussein Sdn Bhd,” katanya.

“Tujuan mesyuarat ini adalah untuk kerajaan ‘membantu’ BNM berhubung kerugian yang dialami BNM dengan cara memindahkan saham-saham milik kerajaan dalam syarikat tertentu kepada BNM,” kata saksi RCI ke-22 hari ini.

RCI kini memasuki pendengaran hari ketujuh mengenai kerugian forex yang didakwa berjumlah AS$10 bilion (RM25 bilion ketika itu) oleh bekas pembantu tadbir BNM Abdul Murad dalam temu bual dengan New Straits Times pada Jun.

Bagaimanapun, BNM dalam laporan tahunannya pada 1994 berkata kerugian itu berjumlah RM9.3 bilion.

Tumpuan RCI hari ini adalah terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang dijangka memberi keterangan petang ini.

Beliau yang kini mengetuai pembangkang, bersama ahli pembangkang lain mendakwa RCI  bermotifkan politik. – 18 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen