Konservatif Melayu bertenggek atas isu ICERD, Statut Rom, kata Syed Husin Ali


Mikha Chan

Melayu kebanyakannya konservatif, dipengaruhi sikap feudal. Kita merasakan diri kita ini hamba, kata sarjana Dr Syed Husin Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 April, 2019.

NILAI feudal dalam masyarakat Melayu menyebabkan ada kelompok konservatif yang bertenggek atas isu ratifikasi perjanjian antarabangsa untuk mengukuhkan kedudukan Melayu, kata Syed Husin Ali.

Sarjana antropologi dan sosiologi yang kemudian jadi ahli politik itu merujuk pada cadangan Putrajaya mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang jadi polemik hangat sampai sekarang.

“Melayu kebanyakannya konservatif, dipengaruhi sikap feudal. Kita merasakan diri kita ini hamba.

“Ini tertanam dalam pemikiran kita, untuk tunduk dan patuh kepada raja-raja. Mereka (orang Melayu) selalu rasa terancam dengan minoriti yang lain.

“Itu sebabnya mereka gunakan isu kaum dan agama. Itu sebabnya mereka mempersoalkan ICERD dan Rom Statut untuk mengukuhkan kedudukan. Ini kerana raja-raja mewakili ketuanan Melayu,” katanya pada Forum Malaysia dan Statut Rom di Kuala Lumpur hari ini.

Forum turut membariskan Peguam Negara Tommy Thomas; pakar perlembagaan Prof Dr Shad Saleem Faruqi; jurucakap Kumpulan G25, Noor Farida Ariffin; peguam Lim Wei Jiet dan aktivis mahasiswa Asheeq Ali Sethi Alivi.

Syed Husin, yang juga bekas timbalan presiden PKR, berkata sesetengah Raja-Raja Melayu rasa tercabar kerana sudah timbul dalam pemikiran sesetengah rakyat bahawa mereka sudah tidak lagi relevan.

“Dari segi ekonomi pula akan bertambah parah, dan ini kita lihat berlaku di kalangan rakyat di mana Raja dianggap sebagai antara perompak kekayaan negara.

“Suara itu menunjukkan sebenarnya sikap rakyat kepada Raja dan ini yang kadang-kadang dibimbang oleh Raja. Kebimbangan itu ialah dapat diatasi bila caranya diperkuatkan kedudukan mereka,” katanya.

Empat pensyarah sebelum ini dilaporkan membentangkan hujah kepada Majlis Raja-Raja mendakwa penyertaan Malaysia dalam Statut Rom bakal menggugat kedudukan mereka.

Malaysia menandatangani Statut Rom pada 4 Mac lalu. Namun pada 5 April, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia akan tarik diri daripada Statut Rom kerana kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam masyarakat.

Beliau juga menegaskan penarikan diri Malaysia itu bukan kerana pembentukan mahkamah antarabangsa itu membahayakan negara.

Dua menteri kabinet, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad kemudian menyebut Putrajaya menarik diri dari Statut Rom kerana ada tangan ghaib yang disifatkan sebagai daulah terpendam yang mahu merampas kuasa. – 26 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen