BN yang mahu ratifikasi Statut Rom, kata peguam negara


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong Mikha Chan

Barisan Nasional buat keputusan meratifikasi Statut Rom pada Mac 2011 dan Pakatan Harapan hanya melaksanakan keputusan itu, kata Peguam Negara Tommy Thomas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 April, 2019.

BARISAN Nasional yang mahu meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) namun hipokrasi kemudiannya mengheret Pakatan Harapan ke dalam kontroversi mengenai dokumen antarabangsa itu, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Thomas mendedahkan bahawa pentadbiran BN pada Mac 2011 memutuskan untuk meratifikasi statut itu tetapi ia tidak dilaksanakan.

“Kerajaan Pakatan Harapan memutuskan untuk melaksanakan keputusan dibuat bekas kerajaan,” katanya pada forum Statut Rom di Kuala Lumpur hari ini.

Forum Malaysia dan Statut Rom itu turut membariskan panel terdiri daripada pakar perlembagaan Prof Dr Shad Saleem Faruqi; jurucakap Kumpulan g25, Noor Farida Ariffin; peguam Lim Wei Jiet dan aktivis mahasiswa, Asheeq Ali Sethi Alivi.

“Debat tentang isu ini diselubungi hipokrasi. Ia jadi kontroversi kerana pembohongan dan salah tanggap,” tambah Thomas.

Pada 5 April lalu, ketika ratifikasi Malaysia itu hangat dibahaskan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia akan tarik diri daripada Statut Rom kerana kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam masyarakat.

Beliau juga menegaskan penarikan diri Malaysia itu bukan kerana pembentukan mahkamah antarabangsa itu membahayakan negara.

Dua menteri kabinet, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad kemudian menyebut Putrajaya menarik diri dari Statut Rom kerana ada tangan ghaib yang disifatkan sebagai daulah terpendam yang mahu merampas kuasa.

Thomas menjelaskan bahawa Statut Rom tidak hanya meliputi empat jenayah antarabangsa yang membimbangkan dan tidak akan terpakai pada kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut undang-undangn negara.

Jenayah tersebut meliputi genosid, jenayah perang, jenayah keganasan dan jenayah kemanusiaan, kata Thomas.

Katanya Statut Rom tidak meliputi jenayah seperti penculikan, rogol dan pembunuhan yang boleh dikendalikan oleh agensi penguatkuasa tempatan.

“Jenayah ini (di bawah Statut Rom) tidak wujud di Malaysia dan tidak ada dalam undang-undang tempatan kita. Jadi apa yang perlu dibimbangkan? Ini amat mengarut.”

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang ditubuhkan di bawah Statut Rom, hanya akan mengendalikan kes jenayah serius apabila penguatkuasaan tempatan gagal berbuat demikian.

“Jika Malaysia mampu mengendalikan jenayah genosid, jadi ICC tidak akan terlibat. ICC hanya sokongan.”  – 27 April, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen