Pelan pengangkutan Pulau Pinang bagus untuk ekonomi tetapi kesannya besar


Looi Sue-Chern

PTMP mendapat bantahan daripada kumpulan masyarakat sivil dan aktivis alam sekitar kerana kesan sampingannya terhadap impak buruk kepada masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2019.

PELAN Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang mencadangkan lebuh raya dan mod pengangkutan awam baharu seperti transit aliran ringan (LRT), boleh dikatakan menjadi projek yang paling diperdebatkan di Pulau Pinang.

Walaupun masyarakat awam dan kumpulan alam sekitar menentang pelan berbilion dolar untuk membina lebuh raya dan rangkaian sistem rel, komuniti perniagaan dan pemain industri memuji rancangan itu.

Pelan PTMP mencadangkan lebuh raya baru, lencongan, terowong bawah laut, sistem LRT, monorel, trem, bas rapid transit (BRT) dan kereta kabel antara pulau dan tanah besar.

Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang Hong Yeam Wah berkata komuniti perniagaan sudah menunggu selama bertahun-tahun untuk projek itu menjadi kenyataan.

“Projek ini sepatutnya dilaksanakan lebih awal untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas, terutama di pulau,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ia akan memperbaiki keadaan lalu lintas kami. Bandar lain seperti Kuala Lumpur dan di tempat lain juga sudah membina lebuh raya baru dan sistem rel bandar.”

Ekonomi negeri sangat bergantung kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Kawasan seperti zon perindustrian, tempat tumpuan komersial dan pelancong popular, serta kawasan kejiranan yang padat penduduknya sering menghadapi kesesakan jalan yang teruk.

Bagaimanapun, kumpulan sivil seperti Penang Forum dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mempertikaikan bahawa membina lebih banyak jalan tidak dapat menyelesaikan kesesakan lalu lintas dalam jangka masa panjang.

Mereka menyeru PTMP yang bernilai RM46 bilion itu dibatalkan, dan kerajaan negeri membuat rancangan baru dengan input daripada masyarakat awam.

Pensyarah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM) Abdul Rais Abdul Latiff berkata mengurangkan kesesakan di Pulau Pinang juga akan membantu aktiviti ekonomi, di samping memanfaatkan industri pembinaan tempatan.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran beberapa projek di bawah PTMP akan memberi impak alam sekitar dan sosial besar kepada mereka yang terjejas secara langsung dengan pembinaan projek tersebut.

“Akan ada pertumbuhan ekonomi dan pendapatan bagi industri pembinaan. Tetapi pada masa yang sama, projekini akan memberi kesan kepada alam sekitar dan komuniti kediaman sedia ada,” katanya menjadikan projek lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL1) yang bantah sebagai contoh.

“Pembinaan PIL1, misalnya akan melibatkan penempatan penduduk. Ini membawa kepada kos dan impak sosial,” katanya.

Para ahli akademik menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam sedia ada untuk menjadikannya lebih cekap, bukan hanya projek memberi tumpuan kepada pembangunan besar-besaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2019.

Pelan PIL1 yang dicadangkan mempunyai empat bahagian terowong sejauh 10.1km melalui kawasan berbukit di Bukit Bendera, Paya Terubong dan Sungai Ara.

Lebuh raya 19.5km itu juga akan melalui beberapa kawasan penempatan seperti Paya Terubong, yang memerlukan negeri untuk mendapatkan tanah dan memindahkan sebahagian penduduk tempatan.

Rais mengakui persoalan sama ada projek mega atau tidak harus diteruskan atau tidak adalah “sangat rumit”.

Bagaimanapun, beliau menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam sedia ada untuk menjadikannya lebih cekap, bukan hanya memberi tumpuan kepada projek pembangunan besar-besaran.

“Pulau Pinang adalah negeri kecil. Jika kita menggunakan ruang untuk membina projek mega, kita akan menjejaskan alam sekitar. Kami memerlukan pembangunan, tetapi ia perlu mampan.”

Pensyarah pengangkutan USM Profesor Madya Ahmad Hilmy Abdul Hamid turut melahirkan kebimbangan beberapa bahagian PIL1 akan melalui kawasan berhampiran dengan Empangan Air Itam di bukit.

“Harus ada banyak jaminan mengenai langkah keselamatan sebelum mereka mula membina. Rekod kita (di tapak pembinaan) tidak begitu baik,” kata Hilmy. – 25 April, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen