RINGGIT yang mencecah paras terendah tiga bulan minggu lepas, akan stabil selepas September apabila indeks pasaran saham dunia menyempurnakan semakan semula bon Malaysia, kata seorang ahli ekonomi.
Nilai mata wang akan bertambah baik jika bon kerajaan Malaysia berterusan dimasukkan dalam indeks bon kerajaan FTSE World susulan rundingan dengan Bank Negara Malaysia (BNM), kata Lee Heng Guie daripada Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC).
Setakat ini, SERC, sebuah unit penyelidikan di bawah Dewan Perniagaan dan Industri Cina Bersekutu, menganggarkan nilai ringgit pada akhir tahun ini adalah antara RM4 hingga RM4.15 berbanding dolar AS.
Kejatuhan mata wang kepada RM4.133, kata Lee disebabkan terutamanya oleh berita yang FTSE Russell, penyedia indeks pasaran saham dunia yang berpangkalan di London, membuat semakan tahap kebolehcapaian pasaran Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI).
Bagaimanapun, asas kukuh ekonomi - lebihan akaun semasa, rizab asing yang melebihi AS$100 bilion - akan membantu menampung ringgit, kata Lee.
“Kebimbangan potensi penurunan harga dalam indeks dan risiko Malaysia dikecualikan daripada indeks menyebabkan mereka yang melabur dalam bon Malaysia menjual pegangan. Kebimbangan ini turut memberi kesan kepada pasaran saham dan anda menyaksikan ringgit semakin lemah,” kata Lee.
“Tetapi fundamental (untuk menyokong ringgit) masih ada,” kata Lee sambil menambah, ia termasuk lebihan akaun semasa, rizab asing melebihi AS$100 bilion dan pertumbuhan ekonomi antara 4.3 hingga 4.8%. Inflasi juga bukanlah masalah besar.
“
Beliau berkata pegawai BNM kini sedang berunding dengan FTSE Russell mengenai kemasukan bon kerajaan Malaysia menjelang semakan semula indeks yang akan berlaku pada September.
Menteri seperti Darell Leiking dan Lim Guan Eng juga menyokong mata wang tempatan, dengan mengatakan turun naik adalah sementara dan ia tidak mencerminkan nilai sebenarnya.
Pada 18 April, Leiking berkata penurunan nilai ringgit masih tidak membimbangkan kerana negara lain juga dilihat mengalami turun naik yang sama dengan mata wang mereka.
“Saya fikir BNM mempunyai strategi untuk mengatasinya,” kata Leiking.
Lim juga menyatakan keyakinan terhadap ringgit, dengan mengatakan nilai sebenarnya hanya dapat diukur dengan melihat prestasinya sepanjang tahun.
Pakar juga berkata kemerosotan itu mungkin disebabkan berita negatif dan kebimbangan mengenai perang perdagangan Amerika Syarikat-China, yang boleh memberi kesan kepada ekonomi Malaysia bergantung kepada eksport. – 24 April, 2019.
Komen