Kejatuhan ringgit tidak jadi kebimbangan, kata menteri


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking optimistik dan yakin Bank Negara mempunyai strategi mengatasi kemerosotan ringgit. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 April, 2019.

KEJATUHAN ringgit berbanding dolar AS baru-baru ini bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan buat masa ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking kerana negara lain juga menyaksikan keadaan turun naik yang serupa dengan mata wang mereka.

Ringgit ditutup pada RM4.14 berbanding AS$1 semalam, kadar pertukaran terendah dalam tempoh hampir tiga bulan.

Pakar berkata penurunan ini mungkin disebabkan oleh berita utama negatif dan kebimbangan mengenai perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang boleh memberi kesan kepada Malaysia, yang ekonominya sangat bergantung kepada eksport.

Bagaimanapun, Leiking lebih optimistik.

“Saya rasa BNM (Bank Negara Malaysia) mempunyai strategi untuk mengatasinya,” katanya.

“Penurunan mata wang bukanlah sesuatu yang tidak begitu kita risaukan lagi buat masa ini kerana ada negara lain yang menghadapi masalah yang sama.”

Ringgit juga jatuh berbanding dolar Singapura pada RM3.0485 berbanding SG$1 tetapi mengukuh terhadap yen Jepun pada RM3.6923 berbanding 100 yen.

Leiking berkata sesetengah orang akan mengeluh mengenai nilai mata wang sementara yang lain akan melihatnya sebagai peluang.

Penganalisis mengatakan tidak ada sebab untuk panik terhadap susut nilai ringgit yang dijangka berterusan dalam jangka pendek tetapi mungkin berakhir menjelang akhir tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2019.

“Sangat menarik untuk melihat bagaimana orang ramai akan mengeluh mengenai ringgit yang lemah dan pada masa yang sama, sesetengah orang gembira apabila ringgit turun sedikit tetapi tidak sepenuhnya turun. Ia mewujudkan peluang untuk mereka.

“Tetapi bagi saya, jika saya banyak ke luar negara, saya juga akan bimbang kerana ringgit yang lemah bermakna kadar pertukaran lebih tinggi,” kata Leiking.

Penganalisis juga mengatakan tidak ada sebab untuk panik terhadap susut nilai ringgit yang mungkin berterusan dalam jangka pendek tetapi ia mungkin berakhir menjelang akhir tahun ini.

Kelemahan dalam unit tempatan adalah pendorong sentimen, didorong berita negatif, yang sebahagiannya adalah spekulasi seperti penyedia indeks global FTSE Russell meninjau tahap kebolehcapain pasaran Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) berhubung kebimbangan mengenai kecairan pasaran.

Tiada pelarian modal berlebihan ke luar negara walaupun ringgit menyusut, kata mereka sambil menambah para pelabur tidak panik.

Prestasi perdagangan Malaysia dengan eksport yang perlahan selari di seluruh Asia. Semua ini, ditambah dengan peningkatan rizab asing, adalah tanda para pelabur tidak panik, kata ahli ekonomi mata wang OCBC Bank, Terence Wu kepada The Malaysian Insight.

“Kami terus menyaksikan tiada tanda panik pelabur yang berlebihan dan tidak percaya ia akan menjejaskan fundamental ekonomi makro Malaysia secara jangka panjang.” – 19 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen