Lihat prestasi ringgit sepanjang tahun, kata Guan Eng


Sheridan Mahavera

Prestasi ringgit perlu diukur sepanjang tahun bagi mendapatkan gambaran sebenar nilainya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 April, 2019.

PRESTASI ringgit perlu diukur sepanjang tahun bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai nilainya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau mengulas mengenai nilai ringgit yang jatuh, terendah dalam tempoh tiga bulan pada minggu lepas. ringgit ketika ini diniagakan pada RM4.1340 berbanding dolar AS.

Lim berkata naik turun nilai ringgit tidak menggambarkan nilai sebenar kerana ia sama seperti kebanyakan mata wang lain yang diniagakan terbuka di mana sentiasa naik dan turun.

Katanya, Kementerian Kewangan tidak akan campur tangan walaupun ringgit jatuh kepada 4.133 berbanding dolar AS pada 17 April lalu.

“Apabila (nilai mata wang) turun, kita berhati-hati tetapi apabila naik, kita gembira. Itu perkara biasa.

“Tetapi kita juga kena lihat prestasinya sepanjang tempoh setahun. Jika kita menilainya mengikut harian, itu tidak akan tepat,” kata Lim dalam wawancara di kementeriannya menjelang setahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking pada Jumaat lalu berkata kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS baru-baru ini bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan buat masa ini kerana negara lain juga menyaksikan keadaan turun naik yang serupa dengan mata wang mereka.

Pakar berkata penurunan ini mungkin disebabkan oleh berita utama negatif dan kebimbangan mengenai perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang boleh memberi kesan kepada Malaysia, yang ekonominya sangat bergantung kepada eksport.

“Saya rasa BNM (Bank Negara Malaysia) mempunyai strategi untuk mengatasinya,” katanya.

“Penurunan mata wang bukanlah sesuatu yang tidak begitu kita risaukan lagi buat masa ini kerana ada negara lain yang menghadapi masalah yang sama.”

Bernama melaporkan ringgit juga jatuh berbanding dolar Singapura pada RM3.0485 dan RM3.6923 berbanding 100 yen.

Ringgit turut jatuh pada RM4.66 berbanding euro dan RM5.4033 berbanding pound British. – 23 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen