TINDAKAN membenarkan penggunaan ganja untuk perubatan tidak akan memberi manfaat kepada Malaysia, kata Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Zulkifli Abdullah kerana ada pihak yang akan mengambil kesempatan.
Zulkifli berkata beliau secara peribadi tidak menyokong usaha membenarkan penggunaan ganja, mendakwa negara yang meluluskan undang-undang untuk kegunaan rekreasi sudah “menyesalinya”.
“Saya baru pulang dari konvensyen di luar negara. Berdasarkan pemerhatian kami, negara yang membenarkan penggunaan ganja, berdepan lebih banyak masalah berbanding manfaat.
“Kadar ketagihan meningkat. Terdapat lebih banyak ladang haram,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam temu bual.
“Tiada kebaikan untuk mengikutinya. Orang akan mengambil kesempatan daripada kebenaran itu.”
Walaupun berkata ia adalah pendirian peribadi, masih terpulang kepada Kementerian Kesihatan untuk memutuskan sama ada ganja perubatan perlu disahkan di sini, susulan cadangan oleh beberapa penyokong usaha itu termasuk penggubal undang-undang negeri.
Sehingga kini, tiada permohonan sedemikian dibuat kepada Kementerian Kesihatan bagi ganja yang dianggap sebagai ubat.
“Ia belum dapat disimpulkan ganja adalah ubat. Pada masa ini, ia masih dianggap dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Wakil rakyat Selangor daripada Bersatu Mohd Shaid Rosli baru-baru ini menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan penanaman ganja.
Adun Jeram itu berkata ganja boleh ditanam untuk penyelidikan dan eksport di Kuala Selangor.
Beliau juga menyebut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membolehkan jabatan kerajaan menanam ganja untuk tujuan perubatan.
Zulkifli berkata adalahpegawai awam di universiti atau kementerian dibolehkan, jika ia dibenarkan oleh kementerian untuk menjalankan kajian mengenai ganja.
“Tetapi buat masa ini, tiada apa-apa,” katanya.

Selain itu, Adun Kebun Bunga Jason Ong turut menyokong tindakan membenarkan ganja perubatan.
Tahun lepas, Putrajaya juga membayangkan kesediaan untuk mengkaji semula undang-undang mengenai ganja berikutan hukuman mati terhadap Muhammad Lukman, bapa berusia 29 tahun yang ditangkap dan disabitkan kerana pemprosesan, memiliki dan mengagihkan minyak kanabis kepada pesakit.
Kes Lukman masih menunggu rayuan.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan boleh mengkaji semula kes Lukman, manakala Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah berkata undang-undang yang dicadangkan untuk membatalkan kesalahan jenayah kepada penggunaan ganja perubatan sedang berjalan.
Menteri Sumber Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar juga berkata beliau akan menggesa pembaharuan undang-undang mengenai ganja perubatan.
Bagaimanapun, tiada sebarang perkembangan didengar mengenai undang-undang yang dicadangkan.
Zulkifli, ketika ditanya mengenai nilai perubatan ganja, mengatakan heroin dan morfin sudah digunakan sebagai ubat penghilang tahan sakit, walaupun dalam dos terkawal.
“Ia diperakui untuk digunakan oleh Kementerian Kesihatan. Tetapi hanya doktor tertentu sahaja boleh menpreskripsikan penggunaannya,” kata beliau. – 6 April, 2019.
Komen