Artis dan angan-angan


Meor Yusof Aziddin

SEWAKTU kecil saya selalu bayangkan kehebatan hidup sebagai seorang artis, penyanyi mahupun pelakon.

Ini yang digambarkan dan dimomokkan kepada kita sejak era Jalan Ampas lagi yang seorang artis itu perlu berlagak kaya walaupun miskin, perlu hidup penuh glamor walau dalam poket cuma ada duit syiling sahaja.

Artis juga tidak digalakkan bergaul dengan masyarakat sebab mereka adalah aset yang perlu diniagakan untuk menguntungkan majikan.

Pada tahun 1970-an, DJ Dave, Noor Kumalasari, Uji Rashid dan Hail Amir yang merupakan penyanyi terkenal pada waktu itu membuat persembahan di kampung saya membuatkan kami anak kampung merasa sangat seronok. Hebat sangat mereka ini pada mata kami waktu itu.

Memang artis mampu memberi pengaruh yang besar kepada masyarakat, sehingga secara tidak langsung kita menganggap taraf mereka ini bawah sedikit daripada dewa padahal hakikatnya realiti kehidupan mereka sama sahaja seperti kita. Ada masa mereka pun pokai juga seperti kita.

Apa yang disogokkan kepada kita adalah daripada apa yang kita baca di majalah hiburan yang popular seperti URTV.

Itulah sumber utama selain radio dan televisyen. Isi di dalamnya bukannya bercerita tentang muzik yang bercorak ilmiah dan variasi sifatnya, melainkan cerita-cerita gossip tentang artis tanah air yang entah apa-apa. Itu yang ditanam ke dalam minda kita sejak dulu lagi.

Apabila abang saya pulang dari luar negara, dibawanya sejumlah kaset lagu-lagu penyanyi barat seperti Bob Dylan dan Cat Stevens.

Ia menyedarkan saya yang seorang artis itu tidak perlulah bergaya dan berpakaian seperti penyanyi popular waktu itu seperti M Daud Kilau mahupun Hail Amir.

Dylan suaranya bukan sedap sangat tetapi album dan pengaruhnya berjaya memberi impak kepada dunia dan peminat muzik. Maknanya kita bukan sahaja dididik untuk menghayati melodi, bahkan mesej yang ingin disampaikan sang penyanyi itu melalui lagu yang mereka sampaikan.

Yang masyarakat kita faham tentang muzik, itu pun hanyalah genre pop walaupun rentaknya rock mahupun blues, ia perlulah bernilai komersial dan liriknya tentang cinta dan kecewa.

Tidak hairanlah di majlis perkahwinan yang riang gembira pun kita akan didendangkan dengan lagu bernada kecewa dan putus asa seperti Ku Cari Damai di Hati ataupun I Don’t Want to Talk About It.

Sehingga ke hari ini, apa yang disogokkan kepada kita hanyalah subjek yang sama. Ceritanya bukan tentang muzik dan variasinya, tetapi lebih kepada gosip dan hiburan tentang artis artis pujaan kita.

Tentang artis itu nak kahwin dengan belanja seperti anak raja, tentang artis itu main kayu tiga, tentang artis bercerai dan tentang artis bela ikan puyu. Itu pun menjadi bahan berita untuk kita baca.

Kalau dari segi lagu, lagu yang hit tentulah lagu cinta, tak kiralah siapa penyanyinya. Ini yang sudah dibaja dalam pemikiran kita sejak lama dulu dan tidaklah mudah untuk kita cuba mendidik mereka dengan lagu-lagu yang bermesej. Yang berjaya sebagai penyanyi yang bermesej adalah seorang dua seperti M Nasir dan Ramli Sarip.

Hari ini, seiring dengan peredaran zaman yang serba maju, dari segi teknologi mahupun maklumat, segala-galanya dengan mudah kita boleh cari di Google mahupun YouTube.

Kebanyakan masyarakat pada zaman yang serba edan hari ini sudah tahu menilai dari sudut yang lebih realistik. Siapapun artis yang lalu di hadapan kita, kita anggap ia hanyalah fenomena yang biasa sahaja.

Kebanyakan artis hari ini, tidak kira pelakon mahupun penyanyi, bukannya berduit sangat pun. Ada yang mahu hidup seperti orang kaya walau berhutang sana sini. Kereta hendak yang mewah sahaja. Rumah pula di kawasan yang elit sahaja. Overhead tinggi di luar kemampuan. Sudahnya berhutang sana sini.

Tidak kira siapapun, kita perlulah realistik dalam menilai dan menjalani kehidupan. Kita tinggal di alam yang nyata, bukannya di alam angan-angan. – 14 September 2017.

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen