Salah laku peguam perlu diadu kepada lembaga disiplin, kata majlis peguam


Richard Malanjum mendakwa wujud "amalan tidak sihat di kalangan peguam yang menggunakan beberapa nama hakim, pendakwa, anggota polis dan pegawai penyiasat yang terkenal bagi menarik perhatian bakal pelanggan". – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2019.

KETUA Hakim Negara Richard Malanjum digesa untuk membuat aduan rasmi dengan Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara (ASDB) bagi menyiasat dakwaan salah laku profesional oleh peguam.

Dalam gesaan tersebut, Majlis Peguam Malaysia (MPM) berkata ia bersedia untuk membantu ketua hakim dan mana-mana pengadu melaporkan aduan tersebut kepada ASDB.

“Di samping itu, ketua hakim dan mana-mana pengadu juga bebas untuk membuat laporan polis,” kata Presiden Majlis Peguam Malaysia Abdul Fareed Abdul Gafoor dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada dakwaan baru-baru ini yang dibuat oleh Malanjum berkenaan salah laku profesional oleh peguam.

Laporan media pada 22 Mac melaporkan ketua hakim negara itu mendakwa wujud “amalan tidak sihat di kalangan peguam yang menggunakan beberapa nama hakim, pendakwa, anggota polis dan pegawai penyiasat yang terkenal bagi menarik perhatian bakal pelanggan”.

Beliau turut mendakwa bahawa peguam berkenaan turut meminta pelanggan sejumlah wang untuk “berkongsi (wang itu) dengan majistret, hakim, pegawai pendakwa dan polis”.

Abdul Fareed berkata MPM mengutuk apa-apa bentuk amalan rasuah atau peguam yang tidak beretika.

Beliau juga berkata bahawa pihaknya akan terus mendapatkan pandangan Badan Kehakiman mengenai cara bagaimana badan-badan itu dapat bekerjasama bagi memastikan pentadbiran keadilan yang efisien dan berkesan, di samping menjalankan peranan dan tanggungjawab setiap institusi tersebut.

Beliau juga turut melahirkan kebimbangan yang dikemukakan oleh peguam mengenai penumpuan untuk mempercepat penutupan kes yang boleh mengakibatkan keadilan dan hak terjejas secara keseluruhan.

“Ini telah menjadi persepsi ramai orang yang tidak baik terhadap Badan Kehakiman, kerana terlalu bergantung kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai kriteria utama dalam menyelesaikan sesebuah kes,” katanya.

Beliau menambah bahawa sistem keadilan yang baik memerlukan gabungan pengendalian kes secara adil, penyelesaian kes secara cepat, dan keputusan yang penuh teliti demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Dalam menegakkan keadilan, kata beliau, penekanan harus diberikan terhadap kualiti dan integriti mengatasi kuantiti, dan demi memastikan keadilan tidak dikorbankan hanya kerana menginginkan kecepatan kes. – 26 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen