Firefly dijangka sambung laluan Singapura melalui Seletar pada Jun


Julia Yeow

ANAK syarikat Malaysia Airlines, Firefly dijangka bakal memulakan semula penerbangan Singapura tidak lama lagi, dengan kelulusan akhir daripada kedua-dua pihak berkuasa penerbangan Malaysia dan Singapura untuk mendarat di Lapangan Terbang Seletar dijangka seawal suku kedua tahun ini.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight perkembangan terbaru ini adalah hasil daripada “perbincangan baik kedua-dua pihak” beberapa minggu lalu.

“Perbincangan (kami) ada kemajuan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Jika kami dapat kelulusan daripada pihak Malaysia dan Singapura, jawapannya adalah ‘ya’,” katanya mengenai rancangan memulakan penerbangan ke Singapura pada pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun, sumber itu tidak dapat mengesahkan tarikh, berkata syarikat penerbangan itu kini memberi tumpuan untuk memastikan kelulusan daripada pihak berkuasa penerbangan kedua-duanya “tidak dapat dipertikaikan”.

Firefly pada asalnya dijangka terbang ke Lapangan Terbang Seletar dari 1 Disember 2018, tetapi pemeriksaan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada Oktober lalu mendedahkan sistem pendaratan instrumen (ILS) di Seletar tidak diluluskan atas dasar ia akan mengganggu pembangunan di pelabuhan Pasir Gudang, Johor.

Oleh itu, Firefly tidak dapat diberikan kelulusan untuk beroperasi dari Seletar. Pada masa yang sama, syarikat penerbangan itu hilang slot pendaratannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, yang mengendalikan 20 penerbangan harian secara terus dari Subang.

Pertikaian ruang udara itu menyebabkan kerugian jutaan ringgit kesan laluan Singapura yang dibatalkan.

Pada Januari, kedua-dua negara melanjutkan kedamaian sementara dengan Malaysia menggantung status terhad kawasan di Pasir Gudang, Johor, yang pada awalnya diisytiharkan sebagai zon latihan tentera, manakala Singapura menangguhkan perlaksanaan ILS di Seletar.

Sumber di Firefly mengatakan sebaik sahaja kelulusan diperolehi dari kedua-dua negara, syarikat penerbangan itu dapat memulakan penerbangan pertamanya dalam masa beberapa minggu.

“Kita mesti memberi masa kepada vendor dan lapangan terbang untuk memindahkan sumber di lapangan,” katanya sambil menambah syarikat penerbangan itu sudah bersedia untuk memulakan latihan dan ujian penerbangan serta-merta selepas mendapat kebenaran.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Firefly, Philip See memberitahu The Malaysian Insight pada awal tahun ini beliau sudah mengadakan mesyuarat tetap dengan pegawai dari Changi dan Seletar sejak pertikaian berlaku.

Syarikat sebelum ini berharap dapat meneruskan penerbangan ke Singapura menjelang Tahun Baru Cina bulan lepas.

Pada Januari, CEO Kumpulan Malaysia Airlines Izham Ismail mendedahkan Firefly, yang merupakan anak syarikat kumpulan itu, kerugian sehingga RM20 juta akibat penggantungan penerbangan. – 23 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen