Apakah kita bersedia tumpaskan rasisme?


Hadri Shah

PADA November 2015, romantisme Paris pada malam hari tertunda gara-gara agenda pengganas.

Bermula dengan letupan pengebom berani mati kira-kira jam 9.16 malam berhampiran Stade De France, kepanikan rakus menerobos Paris.

Seramai 130 warganya mati diganasi, manakala 413 lagi cedera. ISIL dengan tenangnya mendakwa mereka bertanggungjawab ke atas serangan maha dahsyat itu.

Dunia terpana. Masyarakatnya meratapi bersama nyalaan lilin. Serangan pada malam itu mencatatkan rekod sebagai serangan paling celaka dalam sejarah.

Sebetulnya, Paris belum lagi bersedia menghadapi kesedihan seberat itu selepas tragedi Charlie Hebdo yang berlaku pada Januari sebelumnya.

Pada 2016, di sebuah kelab gay di Orlando, Florida, si pembenci Omar Mateen menggila menewaskan 43 nyawa pengunjung kelab dalam kejadian Orlando Shooting.

Walaupun Omar akhirnya mati ditembak, dunia bernafas cemas. Nyawa bukan lagi barang. Bagi si lunatik rasis, nyawa cumalah sehela nafas yang mesti diputuskan.

Hari ini, sekurang-kurangnya 50 nyawa yang sedang mempraktis rukun Tuhan ditembak Brento Tarrant, seorang berfahaman neo nazi. Dan dunia dipaksa menangis lagi?

Kebencian tidak pernah mansuh. Mana pernah!

Ia berakar sejak zaman Habil dan Qabil. Hitler membunuh 6 juta nyawa dalam tempoh empat tahun hanya kerana kebencian terhadap korbannya berbangsa Yahudi.

Heather Heyes dilanggar sang rasis ketika memprotes ketuanan kulit putih di Charlottesville lewat tahun lepas.

Segelintir melempar penghinaan terhadap nabi umat Islam atas tiket kebebasan bersuara. Para kaum imigran, pelarian perang ditindas, dinafikan hak dan ahli-ahli politik murahan tidak pernah berhenti membaca mantra perkauman demi meraih sokongan.

Adakah tempat yang kita tinggal ini layak dipanggil bumi atau neraka?

Tragedi di Christchurch, New Zealand baru-baru ini adalah sebahagian dari siri festival kecelakaan rasisme.

Umpama kanser kronik, ia tumbuh melata, menghijau di lapangan dunia. Mencelakakan keindahan perbedaan.

Namun soalannya, apa usaha manusia sejagat bagi melawan kebarbarikan rasisme?

Tidakkah manusia menyedari rasisme sangat intim dengan susunan ekonomi? Apakah polisi Trump menutup pintu-pintu sempadan daripada dimasuki imigran tidak memberi gambaran bahawa ekonomi adalah sebuah keniscayaan yang mahu dimiliki tanpa ada idea tentang perkongsian sama rata?

Tidak cukup matang lagikah bahawa perseteruan antara bangsa-bangsa di tanah air ini hanya saja melegitimasi rasa sangsi, bahawa bangsa itu asalnya adalah pendatang tetapi kini “merampas” segalanya, dari tanah sampailah kepada sektor pekerjaan dan menjalani hidup lebih berketerampil daripada bangsa asal?

Gagasan superioriti bangsa telah mencemar nilai kemanusiaan. Sederhananya, ia mencipta pengasingan.

Manusia dari pelbagai latar agama, bangsa dan orientasi seksual barangkali mampu hidup bersama dalam satu negeri.

Tetapi, gambaran sebenarnya cukup mengerikan. Mereka hidup berasing-asing. Dalam sanubari, ada kesangsian yang mereka simpankan.

Ada kebencian dan prejudis berdansa dalam hati dan benak pemikiran. Mereka tidak percaya antara satu sama lain.

Justeru, bagaimana kita dapat membereskan mimpi ngeri ini?

Kita tidak memerlukan seorang pemimpin politik, sosok heroik untuk tujuan begini. Malang sekali, itu bukan bahagian jawapannya.

Yang kita mesti mengupayakan saat ini ialah sebuah solusi sistematik melawan rasisme dan kebencian. Dengan kata lain, perlawanan ini bermula atas semangat solidariti.

Tidak ada gunanya usaha ini sekiranya manusia masih resah mencari jalan mempertahankan hak bangsanya atau masih mencari titik-titik mencantumkan semangat nasionalis atau masih menganggap kaum imigran dan pelarian tidak punya hak sama seperti hak-hak penduduk tempatan melainkan kita masih mahu meneruskan tradisi kengerian rasisme.

Seperti kata Karl Marx: “Sejarah berulang. Pertama sebagai tragedi, dan kedua, sebagai lelucon.” – 19 Mac, 2019.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen