SPR sedang pertimbangkan buang kategori kaum dalam daftar pemilih


Asila Jalil

SPR akan melakukan kajian mendalam sama ada wujud keperluan mengekalkan atau membuang kategori kaum dalam daftar pemilih, kata Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2019.

PENGHAPUSAN kategori kaum dalam daftar pemilih adalah salah satu perubahan yang sedang dipertimbangkan Suruhanjaya Pilihan Raya, kata Pengerusi Azhar Azizan Harun.

Perubahan itu bagaimanapun akan dikaji lebih mendalam sebelum sebarang keputusan diambil, katanya ketika diwawancara stesyen radio BFM hari ini.

“Kita sudah lama bercakap sama ada kaum perlu dimasukkan (dalam pengenalan) termasuklah dalam kad pengenalan kita.

“Sekarang, kita perlu berdepan (menjawab) soalan sama ada kaum perlu dihapuskan daripada daftar pemilih sepenuhnya.

“Kami perlu memikirkan perkara ini dengan mendalam dan menilai mengapa kita perlukan kaum (di daftar pemilih) dan jika ada keperluan mengenainya,” katanya.

Azhar berkata isu tersebut antara yang akan dinilai dalam agenda perubahan sedang dilaksana SPR.

Sementara itu, Azhar berkata 18 tahun adalah umur baik untuk mengundi kerana tahap pemikiran remaja ketika umur itu sudah meningkat disebabkan kemajuan teknologi.

Azhar berkata terdapat keburukan dan kebaikan dalam perubahan umur minimum mengundi tetapi beliau percaya 18 tahun adalah umur terbaik untuk mula mengundi.

“Ada yang 40-an belum dewasa lagi. Ada baik dan buruknya.

“Disebabkan standard pendidikan yang dinikmati kita semua pada masa sekarang, dan pendedahan kita menerusi internet, saya fikir tahap pemikiran dan tahap pendidikan meningkat banyak berbanding zaman saya (remaja),” katanya.

Azhar menambah yang terdapat negara dalam dunia yang membenarkan warganya mengundi bermula umur 17 tahun.

“Di Indonesia, umur mengundi adalah 17 tahu atau jika anda berkahwin. Jika berkahwin umur 12 tahun di Indonesia, anda sudah boleh mengundi.

“Jadi, saya fikir rasionalnya adalah jika anda boleh pilih pasangan, mengapa anda tak boleh pilih wakil rakyat. 18 adalah umur yang baik,” tambahnya.

Tahun lepas, Kabinet memutuskan untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan perlembagaan bagi membolehkan perkara itu dilakukan dijangka dibentangkan pada persidangan Parlimen yang bermula hari ini.

Selain itu, Azhar berkata, SPR dan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) sedang menilai untuk pendaftaran automatik warga Malaysia berusia 21 tahun ke atas sebagai pengundi.

Bagaimanapun, katanya, terdapat halangan pelaksanaan kerana syarat boleh mengundi diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja terletak kepada kewarganegaraan.

“Kami sudah berbincang mengenai isu ini baru-baru ini dan saya fikir cadangan akan dibuat tidak lama lagi.

“Tetapi ia tidak semudah itu, kerana kelayakan mengundi di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja kewarganegaran, ada kriteria lain.” – 11 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen