Gelombang kejutan DEB


Chan Kok Leong

Kong Yong Thing menyedari tentang ketaksamaan antara kaum di Malaysia ketika kali pertama ke Kuala Lumpur dan kali kedua adalah ketika berumur 17 tahun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 September, 2017.

KISAH sebuah negara daripada kaca mata warganya. The Malaysian Insight bercakap dengan rakyat Malaysia yang setua negara ini, lahir pada 1957. Kisah mereka memberikan gambaran sebenar makna menjadi rakyat Malaysia buat mereka.

Prejudis dan diskriminasi sangat jauh dalam hidup Kong Yong Thing yang dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina di Kuala Terengganu.

Mendapat pendidikan Tingkatan 6 di sekolah aliran Inggeris, Sekolah Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu pada masa itu, Kong berkata, dia bermain, bergelak ketawa dan menangis bersama-sama kawan-kawan daripada pelbagai latar belakang.

“Ketika itu, kamu langsung tidak kisah tentang kaum,” kata Kong yang menetap di rumah yang disewa keluarganya di Jalan Masjid di hadapan Masjid Sultan Zainal Abidin.

Bapanya yang berasal dari wilayah Fujian, China membuka kedai basikal di Kuala Terengganu manakala datuk dan neneknya membuat tauhu.

Dia masih ingat ketika kali pertama menyedari perbezaan dirinya ketika kali pertama ke Kuala Lumpur pada 1976.

“Dua tahun selepas tamat pengajian kami ke Kuala Lumpur. Satu bas orang Cina turun ke Jalan Chow Kit. Dan semua orang memandang kami seolah-olah kami bawa masalah.

“Kami tak pernah terfikir masalah perkauman dalam negara, kerana semua kawan-kawan tidak pernah bercakap tentangnya. Sehinggalah hari ini, kami masih lagi berkawan, namun masa sudah berubah,” katanya yang kini berusia 60 tahun.

Kali kedua dia menyedari tentang ketaksamaan antara kaum di Malaysia adalah ketika berumur 17 tahun.

“Pada ketika itu saya rasakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kamu menyedari dunia sebenarnya tidak adil. Bagaimana kamu berada dalam senarai menunggu sedangkan kawan-kawan kelas yang tidak lulus boleh memasuki Tingkatan 6?” kata Kong yang memiliki tujuh beradik.

“Kamu akan rasa kecewa pada mulanya dan kamu tidak faham kenapa. Walaupun mendapat keputusan HSC (Higher School Certificate), kamu tidak boleh masuk universiti, tetapi kawan-kawan kamu yang tidak layak mendapat sijil pun boleh masuk universiti.

“Kamu akan rasakan perbezaan, dan selepas beberapa lama kamu sudah tidak peduli. Kamu akan mencari jalan sendiri. Ia negara yang pelik,” katanya yang merupakan generasi kedua masyarakat Cina di Malaysia

Kong berkata, kebanyakan orang Cina memahami keperluan DEB namun mereka tidak gembira dengan perlaksanaan.

Namun menurut Kong, dia tidak menyalahkan kerajaan atau rakan-rakan Melayunya mahupun DEB.

“Ia lebih kepada memahami polisi, dan bagaimana untuk melaksanakannya. Ini yang perlu kerajaan kita selesaikan.”

“Adakalanya kerajaan bertanya kepada masyarakat bukan Melayu tentang DEB. Sekiranya kami katakan kami tidak terkesan dengannya ia tidak akan menjadi satu kebenaran. Jadi ia hanya cara bagaimana kita hadapinya.”

Bapa kepada empat orang anak ini berkata, anak-anaknya tidak pernah bercakap mengenai DEB lagi kerana mereka mempunyai pilihan lain dan lebih terjamin pada hari ini.

“Mereka mahukan cara yang lebih pantas tamatkan kolej, jadi mereka ke kolej swasta, dan kebanyakan mereka enggan ke insititusi awam. Pemikiran generasi mereka berbeza. Ketika kami berada pada usia mereka, kami tidak fikirkan masa depan, tapi kini mereka fikirkan jurusan apa yang akan mereka ambil,” kata Kong.

Hidup Sederhana

Selepas terlepas peluang ke universiti tempatan, Kong berkata dia ke ibu negara dan mengambil diploma dalam bidang pembinaan di Kolej TAR. Selepas tamat pengajian Kong bekerja beberapa tahun di bandar namun kerinduan untuk hidup sederhana di Terengganu membuatkannya pulang semula.

“Saya tidak boleh hidup dengan persekitaran begitu. Di sini untuk ke pejabat hanya mengambil masa lima minit, tapi di Kuala Lumpur kamu akan bergelut antara jam 6 pagi hingga 8 pagi. Saya tiada kehidupan, jadi saya kembali ke pantai timur.  Seseorang itu mempunyai lebih banyak waktu bekerja di KL berbanding waktu tinggal di KT,” kata Kong.

Membesar di Kuala Terengganu, dia hanya memikirkan berapa banyak wang yang boleh dapat hanya dengan membantu ibunya mengisar kacang soya.

“Walau berdepan pelbagai aspek negatif, Kong berkata berhijrah bukanlah satu pilihan.

“Ramai yang mengumpul duit di sini untuk lari dan tinggalkan semuanya di belakang. Ia hanya melarikan diri daripada masalah. Banyak cara untuk selesaikan masalah daripada melarikan diri.”

“Di negara kita, selepas bertahun-tahun, kita maish lagi hidup dalam suasana harmoni. Negara kita sangat unik.”

“Jika kerajaan mempunyai pandangan politik yang betul, negara kita akan menjadi lebih baik. Suatu hari nanti, mereka akan berubah.” – 9 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen