Tolak tawaran Dr Mahathir kerana sayangkan Umno, kata Ahmad Said


BEKAS Menteri Besar Terengganu Ahmad Said mendedahkan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad pernah beberapa kali memberi ‘tawaran’ kepadanya tetapi beliau menolak kerana terlalu sayangkan Umno.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal  dan Ketua Umno Bahagian Kemaman itu berkata demikian ketika meluahkan kesetiaan terhadap Umno meskipun menurutnya beliau dihujani pelbagai dugaan selepas meletak jawatan sebagai menteri besar pada 2014.

Beliau dalam nada berseloroh menggelar dirinya ‘bekeng’ (garang) dan tidak mahu lagi mengungkit peristiwa lama, namun dirinya umpama ular, boleh mengeluarkan bisa apabila terancam.

Ahmad berkata demikian ketika berucap pada perasmian Persidangan Umno Bahagian Kemaman hari ini yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. 

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman dan Menteri Pengajian Tinggi Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut.

“Sejarah telah mengajar mereka… saya harap kita pastikan mulai saat ini segala tohmahan dan hinaan diabaikan… kita pentingkan kekuatan kita, perbetulkan kesilapan kita, apa pun yang berlaku kita tetap ahli Umno,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan yang hadir. – Bernama, 8 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen