SPRM panggil mursyidul am PAS


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menurut sumber, SPRM merakamkan keterangan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin pagi ini di pejabat agensi itu di Perlis berhubung dakwaan dana RM90 juta daripada Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2019.

MURSYIDUL Am PAS Hashim Jasin dirakam keterangannya pagi ini di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis berhubung dakwaan pemimpin parti Islam itu menerima dana RM90 juta daripada Umno, tuduhan yang kini disiasat agensi anti rasuah itu, kata sumber.

Sumber SPRM memberitahu, Hashim dipanggil untuk disoal siasat bersama dua lagi pemimpin PAS negeri.

Hashim sebelum ini menjelaskan kereta mewah jenis Porsche Cayman berharga RM100,000 atas namanya dibeli oleh anaknya beberapa tahun lalu, menggunakan Permit Import (AP) beliau sebagai wakil rakyat.

Sumber turut berkata, di Kelantan, SPRM memanggil ahli exco PAS Mohamed Nasir Che Daud yang juga bekas Ahli Dewan Undangan (Adun) Kuala Krai bagi membantu siasatan yang sama pagi ini.

Hashim difahamkan tiba di pejabat SPRM Perlis dengan ditemani isteri dan tiga orang anggota unit amal PAS kira-kira jam 9.40 pagi ini dan beredar kira-kira sejam kemudian.

The Malaysia Insight turut difahamkan tujuh hingga sembilan pemimpin parti Islam itu dipanggil secara berperingkat bermula 9 pagi ini untuk dirakam keterangan mereka.

Selain Perlis dan Kelantan, beberapa pemimpin PAS dipanggil ke pejabat SPRM Terengganu dan ke ibu pejabat agensi anti rasuah itu di Putrajaya.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan disoal siasat mengenai dakwaan beliau memiliki beberapa kereta dan motosikal mewah selain nombor pendaftaran kenderaan yang eksklusif ketika dirakam keterangannya di ibu pejabat SPRM.

Media semalam juga memetik sumber SPRM berkata agensi anti rasuah itu membekukan beberapa akaun bank dan menyita beberapa buah kenderaan mewah milik pemimpin PAS.

Takiyuddin bagaimanapun menafikan laporan media dan berkata tiada lagi pemimpin PAS akan dipanggil bagi siasatan kes tersebut.

Takiyuddin merupakan pemimpin PAS kedua yang disiasat setakat semalam berhubung dakwaan penyaluran dana berkenaan.

Presiden PAS Abdul Hadi Awam menarik balik saman ke atas pengarang Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown berhubung tuduhan PAS menerima RM90 juta daripada Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2019.

Pada 8 Februari lalu, penyiasat anti rasuah sudah merakam keterangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Dua lagi yang disiasat merupakan bekas pemimpin PAS.

Bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa disiasat pada hari sama, 8 Februari manakala bekas naib presiden PAS Husam Musa yang kini naib presiden Amanah, disiasat dua minggu kemudian.

Takiyuddin pada 11 Februari lalu mengesahkan bahawa Nik Abduh merupakan individu yang bercakap dalam satu rakaman suara berhubung penerimaan wang dari Umno.

Rakaman yang tersebar pada sejak Februari tahun lalu antara lain mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.

Wang berkenaan didakwa digunakan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2016 dan untuk menjatuhkan DAP.

Beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio tersebut termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dan menantu Hadi, Zaharuddin Muhammad.

Siasatan itu dimulakan SPRM susulan laporan polis oleh orang awam selepas Hadi menarik balik saman ke atas pengarang Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown berhubung tuduhan berkenaan.

Awal bulan lalu, Hadi dan Rewcastle-Brown menyelesaikan saman masing-masing di luar mahkamah London namun artikel 6 Ogos, 2016 berhubung tuduhan PAS menerima wang itu kekal di portal Sarawak Report.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti tersebut supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Pada minggu lalu, Sarawak Report menerbitkan satu lagi laporan mendakwa PAS menggunakan dana daripada Umno untuk membiayai calon parti itu bertanding pilihan raya umum Mei lalu.

Sarawak Report mendakwa kira-kira RM1 juta lagi didepositkan secara tunai oleh Umno ke dalam akaun PAS.

Penyiasat turut menyenaraikan bekas pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreeevasan sebagai saksi dalam siasatan kes melibatkan pemimpin PAS.

Namanya disebut Rewcastle-Brown dalam tulisan yang mendakwa PAS menerima dana daripada Umno. – 1 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • If the porsche is bought under his name for the exclusive use by his businessman son, isn't that tax evasion or an abuse of his executive privileges?

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Roger 5201 · Ulasan