Guan Eng sokong hukuman lebih berat bagi kesalahan hina agama


Asila Jalil

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kebebasan bersuara tidak sepatutnya membabitkan penghinaan terhadap sesiapa sahaja berhubung kepercayaan agama mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2019.

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng bersetuju hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap mereka yang menghina agama.

Lim berkata semua agama harus dihormati.

“Jika ada langkah untuk memberikan hukuman lebih berat, itu harus disokong bagi memastikan kita hidup dalam harmini,” katanya di Putrajaya hari ini.

Lim berkata kebebasan bersuara tidak sepatutnya membabitkan penghinaan terhadap sesiapa sahaja berhubung kepercayaan agama mereka.

“Kebebasan seperti itu tidak betul. Ia membenarkan fitnah dan menjatuhkan martabat,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa sebelum ini mengatakan pindaan sudah dicadangkan bagi Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk memberikan penalti lebih berat kepada mereka yang menghina agama.

Mujahid berkata pindaan dicadangkan itu akan dibangkitkan semasa mesyuarat Kabinet sebelum dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Sementara itu, dua individu didakwa di bawah Seksyen 298A (1) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian dan keganasan atas dasar agama di kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini.

Pada Selasa, pekerja kilang A. Taneson, 22, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam kerana menghina Nabi Muhammad di Facebook minggu lepas.

Beliau didakwa menulis komen menghina di laman Facebook dengan menggunakan nama Sarkar Tanesan kira-kira jam 11.40 pagi pada 19 Februari.

Wai Foo Sin, 68, meminta dibicarakan bagi dua pertuduhan keesokan harinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menyiarkan karikatur jelik Nabi Muhammad dan isterinya, Aishah, di media sosial.

Tuduhan kedua adalah di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia bagi status menyinggung perasaan. – 28 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen