Gaji minimum mengikut sektor dibenar bawah undang-undang, kata menteri 


Asila Jalil

Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran hari ini bagi menjawab kritikan bahawa Putrajaya telah kembali kepada kadar semasa selepas aduan oleh majikan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Februari, 2019

MENETAPKAN gaji minimum mengikut sektor dibenarkan oleh undang-undang, kata Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran hari ini bagi menjawab kritikan 
bahawa Putrajaya telah kembali kepada kadar semasa selepas aduan oleh majikan.

Ia dibenarkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, yang merangkumi gaji upah minimum yang disyorkan mengikut jenis pekerjaan dan kawasan serantau.

Beliau berkata majlis itu akan mengkaji cadangan mengenai menetapkan gaji minimum baru sebelum dibawa ke kabinet untuk kelulusan.

Kulasegaran berkata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) turut mencadangkan kawasan serantau dipertimbangkan sebagai faktor apabila menetapkan gaji minimum.

“Ia semua dalam akta itu. Mereka berkata, kita mesti mengambil kira kawasan serantau.

“Saya perlu terima cadangan itu sebagai pengesyoran. Saya tak boleh kata tidak. Tetapi akhirnya kabinet akan tentukan,” katanya pada sidang media selepas dialog tertutup dengan FMM hari ini.

Turut hadir Presiden FMM Soh Thian Lai.

Kulasegaran berkata demikian ketika mengulas berhubung pengumumannya semalam bahawa Putrajaya mempertimbangkan untuk menetapkan kadar gaji minimum “lebih realistik” mengikut sektor perniagaan.

Katanya, sesetengah perniagaan mendapati kadar gaji minimum semasa sebanyak RM1,100 terlalu tinggi, menyebabkan ramai yang terpaksa diberhentikan dan peningkatan kos operasi.

Kadar baharu itu mula berkuatkuasa pada 1 Januari dan diselaraskan di seluruh negara.

Sebelum ini kadar gaji iminum ditetapkan pada RM1,000 bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 bagi Sabah dan Sarawak. – 26 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen