Bajet pendidikan tak cukup, ibu bapa tanggung belanja sekolah


Yasmin Ramlan

Perbelanjaan sekolah meningkat disebabkan potongan bajet kerajaan memaksa sekolah meminta bantuan ibu bapa menerusi PIBG.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2017.

IBU bapa di sesetengah sekolah awam terpaksa membayar lebih untuk pendidikan anak-anak mereka, malah ada sekolah yang terpaksa meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membiayai kos percetakan kertas peperiksaan.

Beberapa ibu bapa yang ditemubual The Malaysian Insight menyifatkan masalah ini berlaku disebabkan kekurangan peruntukan daripada Kementerian Pendidikan. Ibu bapa juga merasakan mereka semakin sukar untuk membayar yuran tahunan PIBG.

Menurut kajian Invoke Centre for Policy Initiatives yang dijalankan pada 10 Jun hingga 14 Julai lalu, perbelanjaan sekolah semakin meningkat saban tahun. Kajian itu juga mendapati yang ibu bapa daripada tiga kaum terbesar negara- Melayu, Cina dan India- mengatakan kos perbelanjaan sekolah anak mereka meningkat 10%.

64% responden lagi mengatakan perbelanjaan sekolah anak mereka meningkat lebih 10% berbanding sebelum ini. 27%  lagi mendapati perbelanjaan sekolah meningkat antara 6% hingga 10%, dan hanya 19% ibu bapa merasakan perbelanjaan sekolah hanya naik antara kadar 1%-5%.

Bagi Azman Ahmad, 40, yang menyekolahkan anaknya di kawasan luar bandar di Sepang, katanya perkara ini lebih dirasai apabila saban tahun lebih ramai ibu bapa di sekolah itu gagal membayar yuran PIBG.

Mempunyai empat orang anak dan tiga darinya masih bersekolah, Azman yang juga ahli PIBG sekolah anaknya, mengakui perbelanjaan bulanannya sedikit terjejas 10%-20% apabila pihak sekolah kadang-kala tanpa diduga memerlukan bantuan kewangan dari pihak PIBG.

“Kalau nak ikutkan memang terjejas. Dari belanja sekolah anak saya, yang nasi lemak sebungkus pun RM1.50 sama macam kat luar, duit fotostat lagi dan derma untuk program aktiviti sekolah.

“Contohnya untuk sambutan merdeka hari tu, sekolah perlu adakan sambutan merdeka, tapi nak anjur tak ada duit sebab tak dapat bajet yang cukup dari kementerian. Jadi, sekolah minta dana dari PIBG,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tak cukup duit cetak kertas ujian  

Azman bekerja sebagai seorang pemandu berkata, dek kerana tidak mempunyai dana yang mencukupi, pihak sekolah pernah meminta bantuan PIBG untuk mendermakan wang untuk mencetak kertas ujian peperiksaan akhir tahun.

“Ini bukan benda baru. Bila saya buat dengan group PIBG dari sekolah lain di Sepang ni juga, mereka hadapi benda sama. Ada sekolah yang sampai buat program kumpul kertas A4 – satu murid, sehelai kertas A4 untuk kertas soalan peperiksaan,” katanya.

Katanya, kebanyakan ibu bapa dari sekolah itu dari kalangan mereka yang gaji di bawah RM3,000 dan menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Tambahnya, sekolah itu mengalami kesempitan peruntukan apabila lebih ramai ibu bapa tidak membayar wang PIBG, iaitu sekitar RM50 setiap tahun untuk setiap keluarga di sekolah itu.

“Yuran PIBG ni tak wajib sebenarnya. Hanya sumbangan. Tetapi bila tak cukup wang nak buat program sekolah dan tak ada tajaan daripada mana-mana pihak, sekolah kena cari dana sendiri, minta datuk sana sini,” katanya.

Ada yang mendakwa sambutan Merdeka perlu diadakan di sekolah tetapi disebabkan tiada bajet, sekolah terpaksa meminta bantuan ibu bapa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2017.

Sekolah di bawah kerajaan negeri Selangor dipinggirkan  

“Apa yang buatkan kami lagi tertekan bila kami di bawah kerajaan negeri pembangkang.

“Isu tak cukup dana sepatutnya hal kerajaan persekutuan. Kami memang boleh minta bantuan dari kerajaan negeri tapi mereka tak boleh masuk sekolah,” katanya.

Menurut Azman, apa yang lebih memeranjatkan, mereka juga perlu menanggung kos pembayaran gaji guru gantian.

“Tapi ini mungkin tak berlaku di negeri lain seperti di Melaka dan Negeri Sembilan contohnya kerana kawan saya mengajar di Negeri Sembilan dan Melaka, saya tanya, mereka kata tak ada jadi sampai macam tu sekali,” katanya.

Ketua Invoke dan juga Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, hasil kajian memberi gambaran awal kepada tindakan pemotongan bajet yang dilakukan Kementerian Pendidikan sehingga mengurangkan peruntukan kepada sekolah.

Tuisyen anjuran sekolah bukan untuk semua peringkat murid

Berbeza pula dengan Syaliza Shapiansuri, 37, yang menghantar anaknya yang berusia lapan tahun ke sekolah kebangsaan jenis cina (SJKC), dimana dia perlu membayar yuran PIBG dan pelbagai sebanyak RM500 setiap semester.

“Saya memang tahu sekolah Cina yuran PIBG lebih mahal berbanding sekolah kebangsaan,” katanya.

Menurut Syaliza, tahun ini merupakan tahun pertama anaknya memulakan sekolah di SJKC.

Sebelum ini anaknya memulakan persekolahan di sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur dengan bayaran PIBG sebanyak RM95 – merangkumi bayaran seperti tuisyen anjuran sekolah, penghawa dingin dan kos bayaran pengawal keselamatan.

“Tapi sekolah sekarang hanya anjurkan tuisyen untuk darjah empat dan enam saja.

“Jadi dari segi perbelanjaan saya terkesan dengan tuisyen. Saya kena hantar anak saya tuisyen untuk basic Mandarin dan tuisyen untuk pelajaran lain. Yuran di situ memang mahal,” katanya.

Dia berkata, jumlah RM500 tersebut merangkumi bayaran kemudahan sekolah anaknya tetapi tidak aktiviti-aktiviti lain.

“Cikgu tak minta bayaran tambahan lain selepas itu. Cuma kalau fotostat tu cikgu suruh buat sendiri saja.

Syaliza yang merupakan seorang suri rumah itu berkata, setakat ini sekolah anaknya belum lagi meminta wang tambahan yang tidak berkenaan dengan sekolah.

“Kalau ada pun dalam 5 ke 20 ringgit. Buat beli hadiah guru besar besara contohnya. Selalunya cikgu bagi pilihan. Nak bagi boleh, tak bagi pun boleh.

Pelajar dan ibu bapa di sekolah jenis kebangsaan cina paling terkesan dengan peningkatan belanja sekolah. – Gambar AFP, 6 September, 2017.

Belanja naik 5-10% pada awal sesi sekolah

Bagi Khoo Li Ying,44, dia melihat terdapat peningkatan perbelanjaan sekolah anaknya sebanyak 5-10% berbanding tahun lalu.

Satu dari tiga orang anaknya merupakan murid di SJKC.

“Secara kasar, lebih kurang sama. Cuma ada naik 5%-10% pada awal tahun. Sebab sekolah ada yuran komputer dan pelbagai buku untuk dibeli.

“Saya tidak terasa banyak sangat (peningkatan). Dan mereka (sekolah) tunjukkan mana duit dibelanjakan.

“Mungkin perlu bayar lebih sedikit tapi saya tidak kisah asalkan sekolah tunjukkan mana duit itu pergi dan ia berbaloi untuk wujudkan suasana yang selesa untuk murid belajar,” katanya.

Namun, Khoo seorang pekerja bebas berkata, sememangnya terdapat ibu bapa yang perlu membuat bayaran tambahan untuk anak mereka yang berada di SJKC.

Katanya, ia bergantung kepada kemudahan sekolah yang disediakan itu.

Kajian Invoke juga mendedahkan peningkatan perbelanjaan itu tinggi dalam kalangan responden Cina kerana 92% daripada mereka menghantar anak mereka ke SJKC kerana peruntukan kerajaan untuk sekolah jenis itu hanya untuk gaji guru dan bil kemudahan sekolah, seterusnya memaksa sekolah bergantung kepada sumbangan PIBG.

Pada 2012 dan 2013, pentadbiran Najib memperuntukkan RM100 juta untuk pembangunan atau penyeliaan sekolah Cina tetapi jumlah itu dikurangkan kepada RM50 juta sejak 2014. – 6 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen