Semua portal dalam talian tertakluk kepada Akta 588, kata menteri


Kandungan portal dalam talian dan media sosial dikawal Akta 588. – Gambar EPA, 5 September, 2017.

TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Jailani Johari berkata akta khusus telah lama diperkenalkan bagi mengawal laporan berita berunsur fitnah terutamanya yang disebarkan portal online.

Beliau berkata Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) mempunyai dua peruntukan utama yang membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil ke atas aduan berkaitan kandungan jelik di internet seperti Seksyen 211, (larangan terhadap pemberian kandungan jelik) dan Seksyen 233 (bagi penggunaan tidak wajar kemudahan dan perkhidmatan rangkaian).

“Apa sahaja kesalahan di alam maya adalah kesalahan di alam nyata jadi pengamal media dalam talian atau netizen harus lebih bertanggungjawab menguruskan kandungan yang dimuat naik di portal mereka.

“Bezakan kandungan yang mengkritik dan yang bersifat menghina, membenci dan menghasut ataupun palsu supaya tidak dikenakan tindakan kelak,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Terengganu hari ini.

Turut hadir Pengarah GPMS Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera.

Jailani yang juga ahli Parlimen Hulu Terengganu mengulas isu yang dikemukan Timbalan Presiden GPMS, Ezaruddin Abd. Rahman pada 2 September lalu meminta kerajaan memperkenalkan akta untuk mengawal laporan berita berunsur fitnah terutama yang disebarkan portal atau media sosial.

Untuk rekod sejak 2016 hingga 1 Febuari lepas, 167 kes salah guna internet dan media sosial disiasat SKMM termasuk penyebaran kandungan dan maklumat palsu melalui platform WhatsApp, Facebook dan Twitter.

Dalam tempoh sama, sejumlah 1,375 laman web turut disekat atas kesalahan kandungan palsu. – Bernama,  5 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen