Tiada alasan PM mahu tunggu lepas PRU14 untuk pinda Perlembagaan


Perdana Menteri Najib Razak tidak ada alasan untuk menunggu sehingga lepas PRU14 untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, bagi menyelesaikan isu pertukaran agama sebelah pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak tidak ada alasan untuk menunggu sehingga lepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, bagi menyelesaikan isu pertukaran agama sebelah pihak, kerana semua ahli Parlimen DAP menyokong langkah itu, kata wakil rakyat.

Penolong Setiausaha Publisiti Nasional DAP Teo Nie Ching berkata ketua Parlimen parti itu Lim Kit Siang sudah mengumumkan semua 36 ahli Parlimennya akan menyokong pindaan itu, dan wakil rakyat PKR dan Amanah juga menunjukkan kesanggupan berbuat demikian.

“Jika Najib benar-benar rasa pindaan perlembagaan diperlukan untuk menyelesaikan isu itu, kenapa perlu ditunggu hingga selepas PRU14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan Najib semalam berkata majoriti dua pertiga di Parlimen diperlukan untuk meminda perlembagaan berhubung Rang Undang-undang Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) (LRA).

Najib berkata beliau memerlukan kematangan dan majoriti dua pertiga.

Teo yang juga ahli Parlimen Kulai berkata Barisan Nasional mempunyai 134 wakil rakyat dalam 222 kerusi Dewan Rakyat, 14 kerusi kurang daripada majoriti dua pertiga.

“Jadi apa alasan Najib untuk tidak dapat membentangkan pindaan perlembagaan itu?

“Dan bagaimana jika Najib tidak dapat majoriti dua pertiga dalam PRU14? Adakah rakyat perlu menunggu lagi lima tahun? Hanya Tuhan tahu berapa banyak penggal terpaksa kami tunggu hingga gabungan itu dapat majoriti dua pertiga di Parlimen.”

Pada 7 Ogos, kerajaan menarik balik LRA, yang dijadualkan untuk bacaan kedua selepas dibentangkan kali pertama November tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata RUU baharu akan dibentangkan tanpa Klausa 88A.

Klausa 88A menyatakan agama seorang anak perlu kekal dalam agama dia dibesarkan sebelum salah seorang ibu bapa memeluk Islam, dan anak itu boleh memilih agamanya sendiri ketika berusia 18 tahun.

Azalina berkata pindaan itu juga akan selari dengan keputusan mahkamah dalam menterjemahkan Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan agama seseorang di bawah 18 tahun perlu diputuskan oleh ibu bapa atau penjaganya.

RUU itu diluluskan pada 10 Ogos, tanpa Klausa 88A, yang mengundang kritikan dalam kalangan pembangkang.

Teo mencabar Najib membentangkan pindaan itu pada sidang Dewan Rakyat pada Oktober jika beliau ikhlas dalam menyelesaikan isu itu.

“Jika katakanlah ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menarik balik kata-kata kami, itu akan jadi masa paling sesuai untuk Najib membubarkan Parlimen dan biar rakyat hukum PH menerusi undi mereka.

“Jika 5% penyokong PH beralih kepada BN, ia akan memberikan Najib majoriti dua pertiga yang beliau impikan,” kata Teo, yang mempersoalkan adakah jika Seksyen 88A yang dicadangkan menjadi isu perlembagaan, kenapa tidak dari awal kerajaan menyedarinya.

Sementara itu, peguam mewakili M. Indira Gandhi, di mana tiga anaknya ditukarkan agama kepada Islam oleh suaminya, berkata langkah kerajaan menarik balik Klausa 88A berikutan “tekanan daripada ekstrem Islam dan PAS yang Umno mahukan sebagai sekutu pada PRU14”.

M. Kula Segaran berkata ini kerana isi kandungan klausa itu sudah pun dipersetujui oleh Kabinet pada 2009, dan empat jawatankuasa Kabinet dibentuk sejak itu bagi melaksanakan keputusan berkenaan.

“Kenapa tiba-tiba ia jadi tidak mengikut perlembagaan pada 2017?

“Umno mahukan kelebihan daripada isu itu untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu Islam,” kata Kula Segaran, yang juga ahli Parlimen Ipoh Barat dan naib presiden nasional DAP. – 5 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen