Dah tak jadi PM, tapi makin popular, Najib ‘keliru’


Asila Jalil

Rakyat suka kerana saya tak takut lawan Pakatan Harapan, kata Najib Razak semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Februari, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak bangga dengan sokongan yang diterimanya kini, walaupun beliau mengakui keliru dengan perbezaan sokongan berbanding dengan zaman pentadbirannya.

Katanya, sokongan rakyat terhadapnya sekarang jauh berbeza berbanding dahulu.

“Saya bangga sangat dapat sokongan luar biasa. Masa saya jadi PM (perdana menteri) tak macam ni. Saya oun pening.

“Patutnya jadi menteri dapat hebat sokongan tapi tak jadi PM lagi hebat,” katanya kepada hampir 200 orang yang datang ke ceramahnya di Semenyih malam tadi.

Katanya, rakyat sekarang menganggap beliau berani kerana kelantangannya mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika mereka cuba “menyerangnya”.

Tambahnya, apa yang dibangkitkannya adalah kebenaran dan beliau tidak mahu menyebar fitnah kerana beliau sendiri adalah mangsa fitnah.

“Saya tak mahu fitnah sesiapa kerana saya sendiri pun mangsa. Saya tak mahu orang lain jadi mangsa.

“Saya berikan rakyat fakta dan biarkan mereka hakimi,” katanya.

Hadirin yang hadir turut melaungkan “Bossku” ketika Najib berucap.

Bossku adalah gelaran diberikan kepada Najib oleh penyokongnya selepas jadi pembangkang. Slogan itu mencapai kemuncaknya di Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, apabila Najib giat berkempen dengan slogan “bossku”.

Najib turut menjelaskan makna “bossku”, yang katanya berasal dari Sabah dan bermaksud “kawan”.

“Bila kata bosku bukan bererti bos sebenar. Rakyat jadi bos kita.

“Pemimpin BN (Barisan Nasional) mesti sedar rakyat adalah bos kita. Jangan kita sombong. Jangan ego.

“Mesti faham bahawa rakyat akan tentukan masa depan kita,” katanya.

Tambahnya, slogan “malu apa bossku” bukan bermaksud beliau tak tahu malu, tetapi adalah tanda kesyukuran dengan rahmat yang diterima.

“Kita bersyukur atas apa yg kita dapat dalam tangan kita. Kerana itu kita kata ‘malu apa bossku’, bukan tak rasa malu, tapi bersyukur dengan apa yang kita ada,” katanya lagi, menambah yang pemimpin PH tidak gembira dengan “bossku” kerana ia mencabar populariti mereka. – 23 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen