60 tahun Merdeka, tapi apa yang ditinggalkan untuk anak cucu?


Yasmin Ramlan

Rosilawati Sabdin yang seusia dengan negara merdeka berkata sedih bila melihat masih ada orang susah di negara ini hingga terpaksa curi makanan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 September, 2017.

Citra sebuah negara dilihat pada cerita-cerita rakyatnya. The Malaysian Insight bertemu dengan warga yang lahir pada 1957 dan sebaya dengan usia Malaya merdeka. Mereka berkongsi cerita untuk kita melihat apa maknanya jadi warga Malaysia.

ROSILAWATI Sabdin yang seusia dengan negara merdeka, sudah melihat banyak perkara dan melalui pelbagai peristiwa. Tiga anaknya, masing-masing berumur 34, 30 dan 27 tahun sudah berkahwin. Dia juga sudah menimang seorang cucu. Namun merenung nasib yang menimpa negara sekarang, dia cukup bimbang akan masa depan anak cucunya dan bertanya Malaysia seperti apakah yang akan diwariskannya nanti kepada mereka.

Biarpun cukup makan pakai dan selesa melewati usia sebagai pesara, Rosilawati tidak boleh memejamkan mata terhadap apa yang dia lihat di sekelilingnya: kemiskinan masih melata, anak lulusan universiti belum lagi dapat kerja dan hidup yang segala-galanya hari ini semakin mahal. Dia membaca berita tentang hutang negara yang bertompok dan nilai ringgit yang mengecil. Dia melihat ini semua.

Sebagai orang yang sudah cukup makan garam, dia memahami kesan akibatnya yang nanti akan dipikul oleh seluruh generasi anak cucunya. Dia bertanya: Malaysia yang suatu ketika pernah digelar antara negara Harimau Ekonomi Asia ini sedang muncul sebagai negara maju atau sebaliknya?

“Saya sedih apabila baca surat khabar negara masih ada orang susah sampai sanggup mencuri makanan sebab tak cukup duit, ada miskin bandar.

“Negara kita ini kaya. Kalau kewangan negara diurus dengan baik, kita tak akan dengar berita macam ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Rosilawati bimbang mengenangkan harga rumah yang tidak terjangkau oleh generasi yang sebaya anak-anaknya, yang katanya terlalu mahal dan melambung tidak terkawal.

“Kalau setakat gaji RM5,000 pun belum tentu mampu beli,” katanya.

Dia berharap kerajaan dan pemimpin yang ada memberi perhatian kepada masalah ini supaya tidak melarat, atau mereka nanti sebenarnya menyumbang kepada melebarnya jurang ekonomi antara golongan berada dan kurang mampu di negara ini.

Apa yang berlaku pada negara sekarang, kesannya bakal ditanggung generasi akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2017.

Merenung apa yang berlaku sekarang, Rosilawati mengimbau pengalamannya mengharungi zaman payah, krisis kewangan Asia genap dua dekad yang lalu.

Katanya, apa yang berlaku pada masa itu tidak patut berulang lagi sekarang. Ketiga-tiga anaknya ketika itu masih bersekolah. Suaminya pula bukan saja hilang pekerjaan tetapi hilang juga pelaburan dalam pasaran saham.

“Kami kurangkan belanja. Sangat berjimat-cermat, belanja apa yang perlu saja. Kereta pun pakai kereta lama, kalau dah rosak pun tak ada nak tukar, kami terus saja pakai kereta itu,” katanya, dan menambah belanja pada masa itu “memang cukup-cukup makan.”

Tetapi ada satu lagi perkara yang meresahkan Rosilawati. Dia yang melalui zaman enam perdana menteri, merangkak tua bersama sejarah negara, risau melihat masyarakat berbilang kaum sekarang tidak lagi seperti dulu.

“Masa dulu, zaman sekolah, kita masih boleh nampak kawan-kawan lain bangsa… Cina, India, Melayu bercampur gaul di sekolah.

“Kalau nak ajak kawan datang rumah pun tak ada nak fikir banyak kali sebab lain bangsa, lain agama.

“Kalau di sekolah sekarang kita boleh nampak kalau Melayu dengan kawan-kawan Melayu saja, Cina dan India pun sama. Tak macam dulu.”

Rosilawati berumur 12 tahun ketika negara terluka dengan peristiwa berdarah 13 Mei, 1969. Tetapi bagi dirinya secara peribadi, titik hitam sejarah negara itu tidak sedikit pun menconteng hubungan baiknya dengan rakan berlainan latar belakang – sampai sekarang.

“Saya sampai sekarang masih berkawan baik dengan kawan-kawan sekolah saya… Cina, India masa zaman sekolah dulu. Bila kami duduk berbual, kami bertanya benda yang sama: kenapa anak-anak kita tak lagi macam zaman kita dulu?” katanya. – 5 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen