Siapa sebenarnya yang tidak matang?


The Malaysian Insight

Najib mengatakan perlu ada kematangan dan majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan seorang kanak-kanak kekal dalam agamanya biarpun ibu bapanya bercerai ketika ketika menjawab isu berkenaan dalam dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama kumpulan wanita bersempena Hari Wanita Kebangsaan semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 5 September, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak semalam membuat satu kenyataan yang menimbulkan tanda tanya berhubung pindaan ke atas Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) apabila beliau mengatakan perlu ada kematangan dan majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan seorang kanak-kanak kekal dalam agamanya biarpun ibu bapanya bercerai.

“Kita perlukan kematangan untuk ubah Perlembagaan dan kita perlukan dua pertiga majoriti. Tapi itu saya tidak ada,” katanya ketika menjawab isu berkenaan dalam dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama kumpulan wanita bersempena Hari Wanita Kebangsaan.

Kenyataan itu menimbulkan tanda tanya kerana Najib boleh dapat majoriti itu berdasarkan bantahan pembangkang semasa kerajaan menarik balik cadangan pindaan ke atas LRA pada 7 Ogos lalu, ketika rang undang-undang pindaan itu dijadual dibaca buat kali kedua selepas dibentang kali pertama November tahun lalu. 

Kenyataan itu tampak kurang jujur kerana perdana menteri membayangkan pembangkang tidak matang dan tidak akan menyokong sebarang pindaan terhadap Perlembagaan untuk membenarkan agama yang dianuti kanak-kanak terlibat kekal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman dilaporkan menarik balik rang undang-undang pindaan untuk mengelak sebarang pertindihan dengan Perlembagaan. Beliau kemudian membentangkan rang undang-undang yang sama tanpa Klausa 881, yang menyatakan seorang kanak-kanak kekal dalam agama asalnya sebelum salah seorang ibu atau bapanya memeluk Islam dan boleh memilih agamanya sendiri pada usia 18 tahun.

Menurut Azalina pindaan baharu itu juga selaras dengan keputusan mahkamah berhubung tafsiran Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut agama seseorang yang berumur di bawah 18 tahun ditentukan oleh ibu bapa atau penjaganya.

Rang undang-undang itu diluluskan pada 10 Ogos lepas tanpa Klausa 88A dan mengundang kritikan dalam kalangan pembangkang.

Kalau ada pun satu-satunya parti pembangkang yang menentang Klausa 88A, ia tentulah PAS yang hanya ada 14 Ahli Parlimen dan tidak akan dapat menyekat pindaan ke atas Perlembagaan sekiranya Barisan Nasional yang diterajui Najib mencadangkannya.

Realitinya, langkah kerajaan Najib menggugurkan klausa itu tanpa mengemukakan cadangan pindaan ke atas Perlembagaan membayangkan kurangnya keazaman politik dalam hal ini.

Kerajaan beliau boleh menangguhkan rang undang-undang tersebut dan memaklumkan semua pihak tentang apa yang diperlukan untuk membolehkan pindaan itu dibuat. Sebaliknya, seorang menteri memetik Perlembagaan untuk menggugurkan klausa berkenaan.

Menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai satu anti klimaks adalah sesuatu yang tidak begitu tepat. Mengatakannya sebagai pengecut juga tidak tepat.

Sudah cukup banyak kes melibatkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang ditukarkan agamanya oleh salah seorang ibu atau bapanya tanpa mempedulikan pasangan yang berpisah atau bercerai yang menuntut perlunya Klausa 88A dalam rang undang-undang itu.

Sebaliknya, kerajaan yang mencadangkan pindaan itu selepas menyemak semua isu perundangan memilih untuk menggugurkannya. Mustahil kerana tidak cukup majoriti. Ia dilakukan hanya kerana tidak ada kematangan menangani isu ini.

Ketidakmatangan itu bukannya pada barisan pembangkang tetapi pemerintah. Kerajaan dan pemimpinnya harus bercermin diri sebelum menyalahkan pembangkang dalam hal ini. – 5 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen