Dr Mahathir diserang bukti BN panik, kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

Dr Mahathir Mohamad adalah bekas perdana menteri paling lama berkhidmat dan kini menerajui pembangkang untuk menumpaskan Umno dan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2017.

SERANGAN yang ditujukan kepada Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad adalah petanda Barisan Nasional (BN) sedang kelam kabut, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Katanya PH memberikan “ancaman nyata” kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berasaskan serangan yang dilakukan kepada Dr Mahathir yang juga merupakan bekas perdana menteri paling lama mentadbir negara.

“Ada peluang cerah PH kalahkan BN. Sebab itulah sekarang kita nampak banyak serangan ditujukan kepada Dr Mahathir,” kata Guan Eng yang juga merupakan ketua menteri Pulau Pinang.

Dia memberikan contoh misalnya ketiadaan poster bekas perdana menteri itu ketika sambutan Hari Kebangsaan serta serangan peribadi yang ditujukan kepada legasi dan keturunan Dr Mahathir.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pada akhir Julai lalu memberitahu ahli Umno yang ayah Dr Mahathir berbangsa India yang bernama Iskandar Kutty. Tetapi dijelaskan kemudian yang Iskandar adalah datuk kepada Dr Mahathir.

Guan Eng berkata tanpa Dr Mahathir dalam Umno, parti utama BN itu berpotensi kehilangan undi orang Melayu pada pilihan raya akan datang.

“BN akan hilang undi. Parti itu memperolehi 58% atau 59% pengundi Melayu pada pilihan raya lepas, tetapi ia tidak akan mendapat jumlah itu lagi kali ini, tidak lagi selepas Dr Mahathir tinggalkan Umno.

“Umno dan BN tidak boleh meningkatkan undi mereka. Jumlah undi mereka akan jatuh. Soalnya sekarang, berapa banyak?” katanya pada satu sidang media hari ini.

Dr Mahathir yang sudah berusia 92 tahun itu adalah bekas perdana menteri Malaysia keempat dan pengerusi Barisan Nasional selama 22 tahun. Beliau keluar daripada Umno pada 2016 sebagai tanda protes kepada tuduhan korupsi Perdana Menteri Najib Razak dalam skandal syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau kini adalah pengerusi Bersatu, parti pembangkang baru yang kini berganding bahu dengan PKR, DAP dan Amanah untuk membentuk PH.

Guan Eng juga menjangkakan yang parti Islam, PAS akan berdepan masalah meraih sokongan termasuklah di kubu kuat mereka, Kelantan.

“Sokongan PAS sentiasa datang daripada mereka yang mahukan kerajaan baru. Jika PAS tak boleh bentuk kerajaan baru, sokongan mereka hanya datang daripada penyokong tegar mereka.

“PAS akan hilang undi di semua kawasan. Kemungkinan PAS hilang Kelantan juga semakin nyata,” katanya.

Guan Eng berkata PAS mungkin boleh meraih sedikit undi penyokong Umno, tetapi undi pengundi bukan Melayu akan memihak kepada PH.

PAS pernah menjadi sebahagian daripada gabungan pembangkang lama, Pakatan Rakyat, tetapi sekarang tidak menyertai PH selepas memutuskan kerjasama politik dengan DAP pada 2015 dan PKR pada awal tahun ini. Baru-baru ini juga, Majlis Presiden PH menolak untuk bekerjasama dengan PAS dan bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru menentang BN dan PAS pada PRU14 nanti.

Kebelakangan ini, PAS dilihat semakin rapat dengan Umno, mencetuskan spekulasi yang mereka akan bekerjasama sekaligus melupakan perseteruan lama mereka.

“Baru-baru ini Bersatu mengatakan satu undi untuk PAS adalah satu undi untuk Umno. Saya setuju dengan pandangan ini,” kata Guan Eng. – 4 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen