Dr Mahathir tidak bohong mengenai dakwaan PAS, kata Muhyiddin 


Asila Jalil Christopher Rabin

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bersalaman dengan penduduk tempatan ketika mengadakan lawatan ke pasar malam di Beranang, Semenyih hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Februari, 2019

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak akan mereka-reka kenyataannya mengenai persetujuan PAS untuk tidak menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Semenyih, kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, walaupun beliau tidak tahu apa yang berlaku dalam pertemuan antara Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan perdana menteri, beliau menekankan bahawa kenyataan itu benar dan Dr Mahathir bukan orang yang akan mereka-reka cerita.

“Saya yakin kenyataan Dr Mahathir tidak dibuat-buat. Bukannya beliau tidak memahami Bahasa. Saya pasti kenyataan itu betul.

Apabila keadaan sedemikian berlaku, PAS terperangkap, apabila mereka terperangkap, perkara biasa yang mereka lakukan adalah berbohong,” katanya kepada pemberita ketika melawat pasar malam di Beranang, Semenyih hari ini.

Minggu lalu Dr Mahathir berkata PAS bersetuju untuk tidak menyokong BN pada pilihan raya kecil Semenyih susulan pertemuan dua pemimpin itu di Putrajaya.

Susulan pertemuan itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengeluarkan satu kenyataan menyatakan PAS akan tetap menyokong BN namun dalam skala yang lebih kecil berbanding apa yang mereka lakukan pada pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Selepas pertemuan dengan Umno di bilik gerakan Barisan Nasional di Semenyih malam tadi, Takiyuddin berkata PAS berjanji akan menyokong Dr Mahathir sekiranya berlaku undi tidak percaya di Parlimen terhadap perdana menteri, dan bukan menyokong PH pada pilihan raya Semenyih.

Mengulas berhubung pekara itu, Muhyiddin berkata PAS merasa terperangkap dan menyebabkan mereka berbohong.

“Apabila isu dibangkita di sini, PAS merasa terperangkap dan apabila terperangkap, mereka boleh berbohong. Mereka boleh menafikannya.

“Jika mereka kata mereka tidak akan sokong Umno di Semenyih seperti yang mereka buat di Cameron Highlands, bermakna mereka tidak akan sokong. Atau mungkin sedikit. Saya tidak faham,” tambah Muhyiddin.

Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata, tiada siapa dalam PH yang membuat usul undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir, dan menolak dakwaan PAS. – 18 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen