Pakatan tidak usul undi tak percaya terhadap PM, kata Guan Eng 


Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pihak yang menentang kepimpinan Dr Mahathir tidak lain dan tidak bukan datang daripada PAS sendiri.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 Februari, 2019

TIADA sesiapa dalam Pakatan Harapan yang membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng sekaligus menafikan dakwaan PAS.

Lim menolak kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang PAS memutuskan untuk memberi sokongan kepada Dr Mahathir kerana percaya terdpaat dua parti komponen PH yang merancang untuk mengusul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

“Ini adalah dakwaan palsu, berunsur fitnah dan pembohongan,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa Pakatan Harapan secara keseluruhan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan perdana menteri, dan menolak sekeras-kerasnya sebarang andaian yang mengatakan sebaliknya.

“Tidak ada satu parti komponen PH atau pun mana-mana pemimpin PH yang menyatakan tidak sokong atau mahukan undi tidak percaya ke atas kepimpinan Dr Mahathir baik di dalam atau di luar mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Sebaliknya yang menentang kepimpinan Tun Dr Mahathir tidak lain dan tidak bukan datang daripada PAS sendiri.”

Tambah Lim, Takiyuddin hanya cuba mengalihkan perhatian daripada dakwaan pimpinan parti Islam itu menerima wang daripada Umno.

“Saya harap Takiyuddin boleh menunjukkan bukti atas dakwaan yang berniat jahat ini. Sekiranya beliau gagal berbuat demikian,Takiyuddin jelas terbukti tidak bertanggungjawab, tidak bermaruah dan hanya memainkan helah untuk mengelakkan isu sebenar.

Lim berkata, PAS perlu menjawab dakwaan oleh Sarawak Report mengenai parti itu menerima RM90 juta daripada Umno.

“Adalah sangat mendukacitakan untuk melihat yang tinggal dalam perjuangan PAS hari ini hanyalah pembohongan bersiri daripada barisan kepimpinan PAS yang menyusuli skandal menerima wang daripada Umno,” katanya.

Semalam, Takiyuddin Hassan berkata partinya hanya akan menyokong Dr Mahathir sekiranya berlaku undi tidak percaya di Parlimen.

Beliau berkata, pendirian parti dalam undi tidak percaya terhadap perdana menteri merupakan antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan tertutup dengan Dr Mahathir Jumaat lalu.

Beliau juga berkata, PAS tidak akan menyokong PH pada pilihan raya kecil Semenyih.

“Surat itu ditandatangani oleh tiga orang termasuk saya, tapi ia langsung tidak ada kena mengena dengan mana-mana pilihan raya atau (tarik sokongan) PRK Semenyih,” katanya selepas mesyuarat gerak kerja PAS dan Umno PRK Semenyih di Bilik Gerakan Barisan Nasional Taman Pelangi, Semenyih, malam tadi.

Terdahulu hari ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim enggan terbabit dalam isu berkenaan dengan mengatakan PAS hanya cuba mengalihkan perhatian mengenai dakwaan ia menerima RM90 juta dari Umno sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“PAS benarkan berbohong. Jadi kita tak tahu mereka bercakap benar atau berbohong. Saya tak tahu, awak kena tanya mereka,” beliau memberitahu pemberitah di Shah Alam hari ini.

“Saya tak mahu layan isu ini, kerana dalam komunikasi saya dengan perdana menteri, perkara ini tidak pernah berbangkit, malah tidak pernah dibangkitkan parti-parti dalam PH.

“Ini hanya naratif PAS untuk mengelakkan siasatan berkenaan RM90 juta itu,” katanya. – 18 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen