Plot belot Dr Mahathir? Anwar kata tanya PAS


PASbenarkan berbohong, jadi kita tak tahu mereka bercakap benar atau berbohong, kena tanya mereka, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim hari ini enggan melayan dakwaan PAS bahawa wujud plot untuk membelot dalam Pakatan Harapan (PH) terhadap Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad.

Anwar berkata dakwaan itu sukar untuk disahkan kerana PAS membenarkan perbuatan berbohong demi kepentingan parti.

Beliau juga berkata isu berkenaan tidak pernah dibangkitkan ketika berkomunikasi bersama perdana menteri dan parti-parti komponen PH.

“PAS benarkan berbohong. Jadi kita tak tahu mereka bercakap benar atau berbohong. Saya tak tahu, awak kena tanya mereka,” beliau memberitahu pemberitah di Shah Alam hari ini.

Anwar menambah, PAS cuba mengalihkan perhatian mengenai dakwaan ia menerima RM90 juta dari Umno sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Saya tak mahu layan isu ini, kerana dalam komunikasi saya dengan perdana menteri, perkara ini tidak pernah berbangkit, malah tidak pernah dibangkitkan parti-parti dalam PH.

“Ini hanya naratif PAS untuk mengelakkan siasatan berkenaan RM90 juta itu,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu hanya berjanji untuk menyokong Dr Mahathir jika terdapat undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.

Takiyuddin Hassan berkata hasil perbincangan bersama Dr Mahathir ketika pertemuan pada Jumaat lalu membawa kepada surat perakuan bertulis sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan perdana menteri itu.

“Surat itu ditandatangani oleh tiga orang termasuk saya, tapi ia langsung tidak ada kena mengena dengan mana-mana pilihan raya atau (tarik sokongan) PRK Semenyih.

“Saya tidak ada apa untuk disembunyikan. Sokongan itu cuma merujuk jika ada undi tidak percaya berlaku maka PAS akan menyokong,” katanya kepada media selepas mesyuarat gerak kerja PAS dan Umno PRK Semenyih di Bilik Gerakan Barisan Nasional Taman Pelangi, Semenyih, malam tadi.

Anwar, sebagaimana menurut perjanjian antara parti komponen dalam PH, akan menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri. Walaupun tiada tempoh yang ditetapkan bagi peralihan kuasa itu, Dr Mahathir berkata akan meletak jawatan selepas dua tahun memegang kuasa.

Anwar turut menepis dakwaan di media sosial bahawa Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin akan dipecat dari parti.

“Saya tak pernah dengar, malah bagi saya ia tak relevan. Ini hanya cubaan beberapa pihak untuk alihkan perhatian kita daripada fokus utama.

“Masalah utama dalam negara sekarang ini, yang perlu diuruskan oleh kepimpinan dan semua parti ialah ekonomi.

“Rakyat menyuarakan keluhan mereka mengenai harga barang naik dan kita mahu dasar yang jelas untuk bantu mereka. Saya fikir seluruh jentera kerajaan dan parti-parti PH perlu bekerja ke arah ini dan bantu kerajaan menyelesaikan masalah utama ini,” kata Anwar. – 18 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen