PAS hanya sokong Dr Mahathir jika ada undi tidak percaya di Parlimen


Diyana Ibrahim Asila Jalil

Setiausaha PAS Takiyuddin Hassan (tiga dari kanan) mempengerusikan mesyuarat gerak kerja PRK Semenyih bersama Pengerusi Badan Perhubungan Selangor Ismail Sabri Yaakob di Bilik Gerakan Barisan Nasional Taman Pelangi, Semenyih, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Februari, 2019.

SOKONGAN PAS pada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hanya melibatkan undi tidak percaya di Parlimen dan bukan menarik kerjasama dengan Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, kata setiausaha agung PAS.

Takiyuddin Hassan berkata hasil perbincangan bersama Dr Mahathir ketika pertemuan pada Jumaat lalu membawa kepada surat perakuan bertulis sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan perdana menteri itu.

“Surat itu ditandatangani oleh tiga orang termasuk saya, tapi ia langsung tidak ada kena mengena dengan mana-mana pilihan raya atau (tarik sokongan) PRK Semenyih.

“Saya tidak ada apa untuk disembunyikan. Sokongan itu cuma merujuk jika ada undi tidak percaya berlaku maka PAS akan menyokong,” katanya kepada media selepas mesyuarat gerak kerja PAS dan Umno PRK Semenyih di Bilik Gerakan Barisan Nasional Taman Pelangi, Semenyih, malam tadi.

Bagaimanapun, Takiyuddin tidak mengesahkan sama ada surat perakuan itu diminta oleh Dr Mahathir atau PAS menawarkan diri untuk menyokong kepimpinan perdana menteri.

Beliau hanya menjelaskan pertemuan pada Jumaat lalu atas permintaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mula mengesyaki berlaku konflik dalaman Pakatan Harapan (PH) berdasarkan kenyataan Dr Mahathir.

“Kita tahu Parlimen akan bersidang semula Mac ini, semuanya mula dengan kenyataan Dr Mahathir. Tun ada cakap macam itu (pengkhianatan), kita orang politik ini boleh faham.

“Presiden (Hadi) pun rasa seperti ada tidak kena dalam (PH). Sebab itu beliau minta berjumpa dengan Dr Mahathir,” katanya.

Takiyuddin turut menafikan PAS sengaja meminta pertemuan itu diadakan sehari sebelum PRK Semenyih berlangsung.

“Presiden (Hadi) dah minta lama (pertemuan) tapi ia sendiri ditentukan oleh Dr Mahathir bukan daripada PAS.”

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam pertemuan di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur, pada Jumaat. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 18 Februari, 2019.

Katanya, pertemuan dengan Dr Mahathir pada Jumaat lalu bukan membincangkan tentang surat akuan sokongan saja.

Beliau berkata PAS juga membangkitkan isu tiada wakil dari Kelantan dan Terengganu dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara serta isu royalti minyak.

Selain Hadi dan Takiyuddin, Menteri Besar Terengganu Ahmad Shamsuri Mokhtar turut serta dalam pertemuan Jumaat lalu.

Kerjasama PAS Umno tetap diteruskan dalam PRK Semenyih

Dr Mahathir dalam kenyataannya berulang kali menegaskan PAS tidak akan lagi menyokong Barisan Nasional dalam PRK Semenyih.

Semalam, perdana menteri mendedahkan Hadi sendiri memberi janji untuk menarik sokongan ke atas BN.

PAS juga mengeluarkan kenyataan akan bekerjasama dengan BN dalam PRK Semenyih dengan skala lebih kecil pada hari sama dengan kenyataan Dr Mahathir.

Menjelaskan tentang itu, Takiyuddin mengesahkan komitmen dengan Umno dalam PRK Semenyih tetap sama.

“Skala lebih kecil bermaksud semasa PRK Cameron Highland skalanya besar sebab ia kerusi Parlimen namun di Semenyih ia kerusi DUN.”

Beliau berkata mesyuarat gerak kerja parti bersama Pengerusi Badan Perhubungan Selangor Ismail Sabri Yaakob memutuskan dua acara penting dalam PRK Semenyih seperti program sepentas antara presiden PAS dan Umno.

“Kita akan ada dua acara penting iaitu program sepentas antara presiden dan Pemuda PAS dan Umno dan tarikh akan diumumkan kelak.

“Kami percaya pengundi tahu apa yang patut dibuat dan keduanya lihat maka anda mengerti, PAS memberi kerjasama dan sokongan sepenuhnya dengan Umno,” katanya.

Ismail turut menyokong kenyataan Takiyuddin dan berkata kekeliruan penyokong cuma dalam tempoh singkat.

“Kamu boleh tipu orang hanya sehari saja tapi apa yang berlaku di sini adalah sebaliknya (kerjasama) dan akhirnya orang tidak akan percaya pada beliau,” katanya merujuk kepada Dr Mahathir.

PRK DUN Semenyih akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Zakaria Hanafi, calon PH Muhammad Aiman Zainali, calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas Kuan Chee Heng.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Februari sebagai hari pengundian awal dan 2 Mac depan sebagai hari mengundi. – 18 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen