Osman Sapian perlu mohon maaf kepada rakyat, Raja


OSMAN Sapian seharusnya merafak sembah memohon keampunan Kebawah DYMM Sultan Johor dan rakyat di Kempas kerana isu “salah faham” mengenai sijil kelulusannya dari Universiti Putra Malaysia yang telah membawa kesipuan kepada mereka yg beliau wakili.

Walaupun beliau telah dengan penuh keikhlasan memohon maaf daripada rakyat Malaysia, adalah lebih penting menjadi tanggungjawabnya juga untuk memohon maaf daripada rakyat di Kempas yg telah memilihnya sebagai Adun dan DYMM Sultan Johor yang telah berkenan melantiknya sebagai menteri besar.

Universiti Putra Malaysia sewajibnya juga lebih bertanggungjawab dengan mengikuti contoh langkah universiti-universiti yang lebih berwibawa seperti University of Cambridge dan University of Nottingham iaitu memperjelaskan keadaan seawal mungkin untuk memadam api kemusykilan terhadap institusinya. Menteri besar juga turut wajib memberi penjelasan secepat mungkin supaya perkara ini tidak berlanjutan.

Permasalahan timbul bukan kerana beliau tidak mempunyai kelayakan akademik; ianya bukan satu kriteria semasa Pilihan Raya Umum ke 14. Namun yang menjadi persoalan ialah mengapa maklumat palsu yang telah dipaparkan oleh semua media semenjak perlantikannya sebagai menteri besar selama 9 bulan lepas tidak diperbetulkan?  

Rakyat Johor memandang tinggi dan amat berbangga dengan Darjah dan Pingat Kebesaran yg di kurniakan oleh DYMM Sultan Johor. Ini kerana ianya amat sukar untuk diperolehi dan hanya mereka2 yang berintegriti tinggi sahaja yang di beri kurnia. 

Peristiwa ini mungkin sedikit sebanyak telah mencemarkan  martabat darjah kurniaan kebesaran negeri Johor oleh kerana pengisytiharan sijil yang telah dibiarkan terpamir selama sembilan bulan tanpa sebarang pembetulan menimbulkan persoalan integriti. 

Oleh yang demikian, molek jikalau Osman yang telah di kurniakan dengan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ), merafak sembah memohon keampunan dari KDYMM Sultan di atas kejadian yang telah berlaku yang mungkin telah mencemar nama baik Negeri Johor.

Dengan itu, mudah-mudahan beliau dapat diampun dan dimaafkan supaya beliau dapat terus menjalankan tugas sebagai menteri besar dengan sempurna khusus untuk rakyat di Kempas dan amnya untuk Negeri Johor Darul Ta’zim.– 16 Februari, 2019.

*Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat adalah Adun Kempas. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen