Serangan bunuh diri, 27 pengawal Revolusi Iran maut


Kenyataan itu menyebut sebuah kenderaan sarat dengan bom telah menyasarkan sebuah bas yang membawa anggota IRGC. – Gambar AFP, 14 Februari, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA 27 anggota Pengawal Revolusi Iran terbunuh dalam insiden pengeboman bunuh diri pada Rabu di tenggara Iran, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Sekurang-kurangnya 13 lagi cedera dalam serangan di wilayah Sistan dan Baluchistan itu, yang kedua terbesar di Iran.

Kenyataan itu menyebut sebuah kenderaan sarat dengan bom telah menyasarkan sebuah bas yang membawa anggota IRGC. 

Jaish al-Adl (Tentera Keadilan), yang mendakwa menyokong hak golongan Sunni di Shia Iran, mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Pegawai kerajaan Iran belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sementara itu, Menteri Luar Iran Javad Zarif menulis di Twitter “Bukan ia satu kebetulan bahawa Iran dilanda keganasan pada hari yang sama  #SarkasWarsaw bermula?” 

“Terutama apabila sekutu pengganas yang sama bersorak di jalan-jalan di Warsaw & menyokongnya di Twitter? AS kelihatan sering melakukan pilihan yang salah, namun mengharapkan hasil yang berbeza,” kata Zarif.

Wakil beberapa negara Arab serta Barat menghadiri satu persidangan Timur Tengah tajaan AS yang berlangsung di Warsaw pada 13 dan 14 Februari. 

Mesyuarat menteri peringkat antarabangsa itu akan membincangkan keamanan dan keselamatan di Timur Tengah selain isu kritikal seperti keganasan, pembangunan serta percambahan peluru berpandu.

Seorang ulama Sunni di Iran, Molavi Abdolhamid Ismaeelzahi telah mengutuk serangan itu.

Ismaeelzahi berkata penduduk Sistan dan Baluchistan telah menderita susulan serangan sedemikian. 

“Satu-satunya mangsa (serangan itu) adalah rakyat kita yang ingin hidup dalam keadaan aman dan selamat.”

Sementara itu, gabenor wilayah tersebut telah mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari selepas serangan. 

September lepas, satu serangan ke atas perarakan tentera di Ahvaz di barat daya Iran telah membunuh 25 orang termasuk anggota Pengawal Revolusi dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain. – Bernama, 14 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen