Kalau Najib berani sangat, kenapa tangguh bicara, tanya Azmin


Christopher Rabin

Perbicaraan kes Najib Razak dijadualkan mulanya pada Selasa lalu ditangguhkan selepas permohonan pasukan pembela, kalau benar Najib Razak berani sangat kenapa minta tangguh, soal Azmin Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Februari, 2019.

AZMIN Ali mempersoalkan keberanian Najib Razak, yang disifatkannya hanya di media sosial.

Timbalan presiden PKR itu juga menimbulkan soal penangguhan bicaranya semalam, walaupun bekas perdana menteri itu berulang kali yakin menyatakan beliau tidak bersalah apapun.

“Jika dia berani sangat, kenapa tangguh bicara?” soal Azmin pada pelancaran Pusat Operasi Wanita Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Semenyih malam tadi.

PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan, penamaan calon akan berlaku Sabtu ini.

Penangguhan bicara itu berlaku susulan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menarik balik permohonan pemindahan tujuh pertuduhan berkaitan SRC International dari mahkamah tinggi ke mahkamah sesyen.

Azmin berkata, pengundi Melayu di Semenyih tidak akan mudah terpengaruh seperti pengundi Cameron Highlands yang dimenangi Barisan Nasional baru-baru ini.

Menurut Azmin, kebanyakan pengundi Melayu di Semenyih menetap di bandar dan tidak akan mudah terpedaya dengan dakyah BN.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata taktik Najib di Cameron Highlands yang berjaya mempengaruhi pengundi Melayu tidak akan berkesan di Semenyih.

“Baru sekaranglah dia hendak naik motosikal, makan roti canai, pakai sarung dan naik teksi. Ini mungkin berkesan di Cameron Highlands, saya nak tengok dia cuba buat di Semenyih.

“Datang ke Semenyih, di sini bos adalah rakyat. Di Semenyih, pengundi adalah pemimpin di sini,” katanya. – 13 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen