Penangguhan kes SRC Najib hanya masalah kecil, kata pendakwa baharu


Timothy Achariam

Peguam terkemuka V. Sithambaram, dilantik mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC International terhadap bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Februari, 2019.

PEGUAM V. Sithambaram, yang akan mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC International terhadap Najib Razak, menyifatkan penangguhan kes itu sebagai “masalah kecil”.

Peguam jenayah terkenal yang banyak mengendalikan kes berprofil tinggi sepanjang 40 tahun dalam kerjaya, kebanyakannya bertindak sebagai peguam bela, berkata beliau menjangkakan perbicaraan kes itu akan dimulakan tidak lama lagi.

“Ini hanya masalah kecil,” kata Sithambaram kepada The Malaysian Insight.

“Ia tidak akan dilengahkan terlalu lama.”

Sithambaram dipilih oleh Peguam Negara Tommy Thomas untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas perdana menteri itu, bersama peguam veteran Sulaiman Abdullah.

Perbicaraan itu dijangka bermula hari ini tetapi Mahkamah Rayuan semalam memberikan Najib penangguhan sehingga kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membenarkan permohonan Thomas menarik balik sijil untuk memindahkan tujuh pertuduhan berhubung SRC International dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Thomas berkata ia hanya taktik Najib dan ketua peguam belanya untuk melengahkan kes tetapi panel hakim tidak menemui sebarang bukti perundangan untuk melengahkan perbicaraan.

Perbicaraan kes SRC International itu membabitkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram, tiga kes pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa, di mana Najib didakwa pada 4 Julai lalu. Najib dikenakan tiga lagi pertuduhan pada 28 Januari, juga berkait dengan SRC International.

Bekas perdana menteri Najib Razak didakwa pada 4 Julai lalu membabitkan kes skandal SRC International dan dikenakan tiga lagi pertuduhan pada 28 Januari. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Februari, 2019.

Thomas menarik balik tiga pertuduhan baharu dan meminta Najib dilepaskan tanpa dibebaskan berdasarkan kepada isu teknikal dan prosedur. Jumaat lalu, Najib dituduh semula dengan tiga pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen di mana beliau mengaku tidak bersalah.

Dengan penangguhan itu, Sithambaram kini perlu menunggu beberapa minggu lagi sebelum dapat menjalankan tugas pertamanya sebagai pendakwa raya dalam kes berprofil tinggi itu.

The Malaysian Insight difahamkan Sithambaram dipilih kerana pengetahuannya terhadap undang-undang dalam kes seumpama itu dan beliau juga melakukannya secara pro bono.

Sithambaram sebelum ini pernah menjadi ketua peguam bela dalam perbicaraan kes bunuh membabitkan Koh Kim Teck di mana Koh bersama dua pengawal peribadinya didakwa membunuh anak saudara ahli perniagaan Jian Huang, yang berusia 14 tahun pada 2004. Kok akhirnya dibebaskan.

Sithambaram juga ketua peguam dalam perbicaraan berprofil tinggi kes pembunuhan Noritta Samsudin pada awal tahun 2000.

Seorang sumber yang rapat dengan Sithambaram berkata pengalamannya sebagai peguam bela selama ini akan membolehkannya menjangkakan pembelaan dibawa oleh pasukan peguam bela Najib.

Selain Sulaiman, pasukan pendakwaan turut disertai Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Budiman Lutfi Mohamed dan Muhammad Izzat Fauzan.

Pihak pendakwa menyerahkan lebih 3,000 halaman dokumen termasuk minit mesyuarat SRC International dan kenyataan saksi.

Kira-kira 50 saksi pendakwa dijangka dipanggil memberi keterangan. – 12 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen