Cameron Highlands pemula pulangnya BN ke Putrajaya, kata Mat Hasan


Barisan Nasional menang di Cameron Highlands semalam, mencetuskan harapan dalam kalangan pembangkang itu yang rakyat masih sayangkan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2019.

KEJAYAAN Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands adalah pemula kembalinya Barisan Nasional ke Putrajaya, kata pemangku gabungan pembangkang itu Mohamad Hasan.

“Kepada Pakatan Harapan, ini adalah permulaan kepada kebangkitan semula BN,” tulisnya di Facebook hari ini.

BN mempertahankan kerusi Cameron Highlands semalam selepas kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dibatalkan mahkamah kerana wujud kesalahan rasuah pengundi.

BN sudah berkuasa di kerusi itu sejak 2004.

Mohamad yang juga pemangku presiden Umno berkata, kejayaan BN mengekalkan kerusi tersebut adalah “kemenangan manis” yang menunjukkan “rakyat biasa” masih setia kepada bekas pemerintah yang mentadbir negara sejak Merdeka itu.

“Orang biasa-biasa, terutamanya orang Melayu dan Orang Asli di pendalaman Malaysia, enggan membenarkan undian mereka dimenangi melalui ugutan dan penghinaan.

“Kepada seluruh pengundi Cameron Highlands, terima kasih kerana tidak meninggalkan kami dan terus meyakini BN,” katanya.

Kenyataan Mohamad itu dikeluarkan selepas keputusan PRK semalam menunjukkan BN masih kekal mendapat sokongan pengundi Melayu dan Orang Asli.

Calon BN Ramli Mohd Nor mendapat undi 12,083, membolehkannya menang dengan majoriti 3,238 berbanding pencabar terdekatnya, calon PH M Manogaran yang meraih 8,800 undi.

Mohamad juga mengakui kerjasama BN dengan musuh yang kini jadi sekutunya, PAS menyumbang kepada kejayaan di Cameron Highlands dan berikrar akan terus bekerjasama dengan parti Islam itu.

“Penuh pengajaran kerana ia menampilkan dengan nyatanya perasaan komuniti-komuniti kecil di Cameron Highlands, terutamanya Orang Asli, mengenai wakil yang mereka kehendaki di Putrajaya.

“Ini suatu amanat besar bagi BN dan PAS, dan kami akan bekerjasama untuk memenuhi amanat yang dipertanggungjawabkan ke atas kami.”

Kedua-dua parti itu mula bekerjasama selepas BN hilang Putrajaya kepada PH Mei tahun lepas.

Mereka bekerjasama dalam setiap PRK yang diadakan selepas itu, Cameron Highlands adalah kejayaan pertama.

“Tanpa sebuah ikatan atau kerjasama formal, keduanya saling mendukung demi kebaikan negara ini. Kami juga berikrar menggabungkan usaha demi perpaduan kaum Melayu dan umat Islam di Malaysia,” kata Mohamad lagi.

“Akhirnya yang menang, ialah rakyat dan kepentingan mereka.” – 27 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen