Putrajaya perlu bebaskan semua 142 tahanan kanak-kanak tanpa bicara


Christopher Rabin

Suhakam dan Suaram mendesak Putrajaya memenuhi janjinya menghapuskan undang-undang menindas dan membebaskan semua 159 tahanan kanak-kanak tanpa bicara yang ditahan di bawah Poca dan Sosma. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Januari, 2019.

DUA kumpulan hak asasi utama negara hari ini sekali lagi mendesak pembebasan 142 tahanan juvana tanpa bicara, selepas lebih dua tahun pendedahan berlaku yang 159 tahanan kanak-kanak ditahan di bawah undang-undang menindas. 

“Semua kanak-kanak yang ditahan tanpa bicara perlu dibebaskan serta merta, kecuali polis ada bukti jenayah mereka yang boleh dibawa ke mahkamah,” kata Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy pada sidang media di ibu pejabat Suaram di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 2017, Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu timbalan perdana menteri dalam jawapan bertulis di Parlimen mendedahkan terdapat 142 kanak-kanak ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), dan 17 orang lagi ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pendedahan itu mencetuskan bantahan awam kumpulan hak asasi, Suhakam dan Suaram yang mendesak kerajaan Barisan Nasional ketika itu membebaskan kesemua mereka, dan hari ini mereka sekali lagi mendesak kerajaan Pakatan Harapan meneliti semula aspek tahanan tanpa bicara untuk kanak-kanak.

Sevan pada sidang media hari ini berkata, Pakatan Harapan perlu menghormati janjinya untuk menghapuskan undang-undang menindas Poca dan Sosma.

“Kerajaan berkempen untuk menghapuskan Poca dan Sosma sebelum pilihan raya umum.

“Mereka banyak kali buat ‘u-turn’ dan menangguh pemansuhannya, tetapi masih mendengar bagaimana polis menyalahguna kuasa yang diamanahkan kepada mereka.”

Sevan juga mendesak kerajaan meneliti punca dan sebab polis menyalahgunakan Poca untuk siasatan kerana penjenayah juvana sepatutnya jadi tanggungjawab masyarakat untuk dipulihkan.

“Dalam kes ini, kami cadangkan semua IO (pegawai penyiasat) tahanan juvana di bawah Poca juga disiasat. Siasat mengapa mereka guna Poca dan bukan Kanun Keseksaan dan undang-undang lain.” – 30 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen