159 pesalah juvana ditahan di bawah Sosma, Poca


Melati A. Jalil

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menjawab soalan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berhubung jumlah pesalah juvana yang ditahan di bawah Pota, Sosma dan Poca.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2017.

SERAMAI 142 juvana ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca), iaitu undang-undang yang memberi kuasa kepada polis untuk melakukan penahanan tanpa bicara, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 31 Oktober, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, 17 lagi pesalah juvana ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) sejak ia digazet dan dikuatkuasaka.

“Bagaimanapun tiada yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (Pota),” katanya. 

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berhubung jumlah kanak-kanak yang ditahan di bawah Sosma, Poca dan Pota. Santiago turut bertanya tentang Ang Kian Kok berusia 16 tahun yang ditahan di bawah Poca. 

Zahid bagaimanapun berkata, kementerian tidak boleh mendedahkan butiran bagi kes Ang, bagi mengelakkan ia mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh polis. 

Katanya, Ang ditahan pada 13 September, 2017.  – 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen