Kumpulan hak asasi manusia tuntut pembebasan 159 tahanan bawah umur


Seramai 142 juvenil ditangkap di bawah Poca dan 17 lagi di bawah Sosma sejak kedua-dua undang-undang itu mula berkuatkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2017.

KUMPULAN hak asasi manusia menuntut pembebasan segera 159 juvenil yang ditangkap dan ditahan tanpa perbicaraan di bawah undang-undang keselamatan negara.

Dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 31 Oktober 2017, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata 142 juvenil ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan 17 lagi ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) sejak kedua-duanya  berkuatkuasa.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa pembebasan segera remaja yang ditahan atau kerajaan mendakwa mereka di mahkamah juvana.

“Suaram mengulangi pendirian kami bahawa undang-undang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan tidak mempunyai tempat di negara demokrasi dan mesti dimansuhkan dengan segera,” kata pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy dalam satu kenyataan hari ini.

“Mengulas mengenai dakwaan penyeksaan dan penderaan yang ditanggung oleh tahanan di bawah Sosma dan Poca, serta penggunaan sistem pengasingan bersendirian bagi tahanan di bawah Sosma, Suaram terkejut yang kerajaan Malaysia menganggapnya satu keperluan bagi anak-anak di bawah umur ditahan dalam keadaan ini,” katanya.

“Justeru, Suaram menyeru agar mereka bawah umur yang ditahan di bawah Sosma dan Poca dibebaskan serta-merta.”

Kumpulan hak asasi tempatan juga menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat keputusan “tidak boleh dipersoalkan” yang membenarkan remaja ditahan tanpa perbicaraan.
Dalam jawapan Parlimen Zahid, beliau tidak memberi sebab penangkapan juvana, hanya mengatakan mereka sedang disiasat.

Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) menggesa kerajaan menghormati hak kanak-kanak seperti yang terkandung dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan diiktiraf dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

“Penangkapan di bawah Poca menyebabkan penahanan tanpa perbicaraan,” kata ketua Proham Kuthubul Zaman dalam satu kenyataan hari ini.

“Oleh itu, kanak-kanak ini dilucutkan hak asasi manusia mereka; kanak-kanak yang dilucutkan kebebasan boleh terdedah kepada penderaan.”

Zaman berkata, disebabkan ketidakupayaan dari segi fizikal dan mental mereka, kanak-kanak ini memerlukan perlindungan dan penjagaan khas, termasuk perlindungan undang-undang yang sesuai.

“Perkara 37 Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak jelas menyatakan tiada kanak-kanak akan dikenakan seksaan atau hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan atau penghinaan lain,” katanya.

“Ia juga menyatakan dengan jelas tiada kanak-kanak boleh dirampas kebebasannya secara tidak sah atau sewenang-wenangnya. Memandangkan Malaysia adalah penandatangan kepada konvensyen ini, kerajaan mesti mengambil langkah yang sesuai untuk memastikan kanak-kanak dilindungi daripada semua bentuk diskriminasi dan hukuman.

“Semua kanak-kanak mempunyai hak kepada perlindungan undang-undang dan akses kepada keadilan.” – 8 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen